Kertas siasatan kes buli pelajar MRSM dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya
Bernama
14/04/2025

Datuk Hamzah Ahmad, Ketua Polis Pulau Pinang. - Gambar fail/BERNAMA
KEPALA BATAS: Kertas siasatan berhubung kes sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Nibong Tebal di sini yang terlibat dalam kes buli telah dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Pulau Pinang untuk arahan dan tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan itu selepas merekodkan keterangan beberapa pihak termasuk pelajar yang terlibat dan sekarang ini menunggu arahan serta tindakan selanjutnya daripada TPR.
"Kita dah lengkapkan kertas siasatan kes itu dan dimajukan kepada TPR pada 10 April lepas untuk arahan serta tindakan selanjutnya. Secara keseluruhan polis telah rekodkan keterangan semua pihak yang terlibat untuk (lengkapkan) siasatan kes itu termasuk pelajar, petugas di MRSM dan laporan perubatan.
"Berdasarkan siasatan polis, kejadian tersebut yang berlaku pertengahan tahun lepas berlaku hanya sekali (kes buli) dan difahamkan mungkin mereka bergurau antara sesama pelajar namun siasatan lanjut telah dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Polis Diraja Malaysia Kontinjen Pulau Pinang di Dewan Temenggung Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini malam tadi yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Noor serta Ketua Menteri Chow Kon Yeow bersama isterinya Tan Lean Kee.
Sebelum ini, polis mengesahkan video berdurasi satu minit 31 saat tular di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dibuli di asrama, berlaku di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan pada pertengahan tahun lepas dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Sementara itu, Hamzah berkata kadar indeks jenayah di Pulau Pinang sejak awal Januari hingga Mac lepas turun sebanyak 44.8 peratus iaitu 623 kes berbanding 1,128 kes bagi tempoh yang sama pada 2024.
Beliau berkata penurunan itu termasuk indeks jenayah kekerasan yang mencatatkan penurunan paling besar iaitu 30.1 peratus daripada 243 kes kepada 148 kes.
"Dalam tempoh sama, PDRM Kontinjen Pulau Pinang berjaya menumpaskan 5,400 kes berkaitan penyalahgunaan dadah dan secara keseluruhan, tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini adalah selamat serta terkawal," katanya.
-- BERNAMA