Pembatalan pengundian pemilihan AMK Kedah berikutan masalah teknikal
Bernama
12/04/2025

Pengundian bagi pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang PKR seluruh Kedah yang dibatalkan semalam (Jumaat) akan dijalankan semula hari ini bermula 8 pagi sehingga 5 petang.
ALOR SETAR: Pengundian bagi pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang PKR seluruh Kedah yang dibatalkan semalam (Jumaat) disebabkan masalah teknikal pada aplikasi pengundian.
Setiausaha PKR Kedah, Dr Mohamad Sofee Razak berkata, masalah berkenaan menyebabkan sistem tidak dapat mengenal pasti tarikh lahir anggota berumur 35 tahun dan ke bawah.
"Mereka boleh mengundi bagi peringkat cabang tetapi tidak boleh mengundi untuk pemilihan AMK. Bagi pemilihan peringkat cabang dan wanita pula ia berjalan lancar.
"Secara keseluruhannya proses pemilihan pada hari ini sama ada undian secara fizikal atau dalam talian berjalan lancar kecuali AMK dan tiada isu lain yang timbul," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Terdahulu, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, pengundian bagi pemilihan AMK cabang PKR seluruh Kedah pada Jumaat dibatalkan.
Pengundian akan dijalankan semula hari ini bermula 8 pagi sehingga 5 petang.
Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah berkata, 19,356 anggota PKR layak mengundi melibatkan semua 15 cabang di Kedah.
Beliau berkata, sebanyak 19,003 anggota atau 98.2 peratus mengundi secara online manakala 353 orang atau kira-kira 1.8 peratus menunaikan tanggungjawab mengundi secara fizikal.
-- BERNAMA