Translate

12 April 2025

Pulau Pinang tubuh pasukan khas pantau tarif, bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan



Pulau Pinang tubuh pasukan khas pantau tarif, bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan

Bernama

12/04/2025


Chow selepas sesi perbincangan bertajuk "Tindak Balas Strategik terhadap Tarif AS: Melindungi Kepentingan Ekonomi Pulau Pinang" di Penang Institute, pada Jumaat. - Gambar Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang via BERNAMA


GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk memantau tarif sebagai sebahagian daripada tindak balas strategiknya terhadap pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pasukan petugas itu akan berperanan sebagai platform penyelarasan pusat untuk mengesan perkembangan perdagangan, mengadakan libat urus dengan sektor terjejas dan memaklumkan tindakan dasar yang responsif.

Inisiatif itu akan menyokong usaha Pulau Pinang untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Pengumuman AS baru-baru ini untuk mengenakan tarif yang meluas ke atas import dari Malaysia, meningkat kepada 24 peratus dalam kebanyakan kes telah menimbulkan kebimbangan serius kepada negara khususnya Pulau Pinang.

"Sebagai antara negeri di Malaysia yang paling bergantung kepada perdagangan dan didorong eksport, Pulau Pinang secara langsung terdedah kepada implikasi langkah tersebut (tarif AS).

"Justeru, Pulau Pinang menggariskan dua inisiatif utama," katanya dalam sidang media selepas sesi perbincangan bertajuk "Tindak Balas Strategik terhadap Tarif AS: Melindungi Kepentingan Ekonomi Pulau Pinang" di Penang Institute, pada Jumaat.

Satu lagi inisiatif utama ialah Pulau Pinang bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan kit peralatan penyesuaian perdagangan bagi membantu pengeksportnya dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengemudi keadaan tarif, pematuhan dan penstrukturan semula, katanya.

Kit peralatan berkenaan termasuk sumber praktikal untuk membantu syarikat meneroka pasaran alternatif di bawah perjanjian perdagangan serantau dalam ASEAN, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau sedia ada serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik.

"Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada pendekatan proaktif Pulau Pinang untuk melindungi ekonomi kita, menyokong perniagaan kita dan mengekalkan keyakinan pelabur. Bagaimanapun, ini bukan penyelesaian segera. Kerajaan negeri memerlukan masa untuk memuktamadkan mekanisme, berunding dengan pihak berkepentingan dan mendapatkan penjajaran antara agensi," katanya.

Beliau berkata, Pulau Pinang tidak boleh dan tidak sepatutnya menghadapi cabaran ini bersendirian.

"Kami meminta Kerajaan Persekutuan untuk menyokong inisiatif diterajui oleh kerajaan negeri ini terutamanya dalam memastikan syarikat lebih kecil, vendor dan PKS yang bergantung kepada eksport tidak dibiarkan menanggung kejutan ini (tarif) secara bersendirian," katanya.

Beliau berkata, pendirian ASEAN diselaraskan boleh membantu mengekalkan rantaian bekalan terbuka, keyakinan pelabur dan semangat perdagangan berasaskan peraturan.

"Pulau Pinang tidak akan mengalah...kami menjajarkan semula, menentukur semula dan mengesahkan semula peranan kami sebagai pemacu ekonomi utama negara. Kami pernah menghadapi cabaran sebelum ini, justeru kami akan mengatasi rintangan ini menerusi kerjasama, penyelarasan dan keyakinan terhadap rakyat dan industri," katanya.

Tiga puluh lima peserta mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat tersebut termasuk wakil daripada kerajaan negeri, agensi negeri dan persekutuan, Bank Negara Malaysia, institusi pendidikan, persatuan perdagangan, dewan perniagaan, PKS dan syarikat multinasional.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian dalam sidang media sama berkata, tiada kebimbangan timbul mengenai kadar pengangguran tinggi atau syarikat ditutup di Pulau Pinang berikutan tarif AS.

"Kita belum berada di peringkat itu lagi," katanya.

Eksport daripada syarikat berpangkalan di Pulau Pinang ke AS berjumlah 17 peratus (RM76 bilion) pada 2023 manakala eksport keseluruhan Malaysia ke AS adalah RM161 bilion dengan sektor elektrik dan elektronik sebagai penyumbang utama.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Oslo viewed 'Najib Razak Memberi Penghormatan Terakhir Kepada P' 5 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'ASTON VILLA & DORTMUND "NEARLY" COME BACK FROM THE' 14 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'BARA NAGA | Co' 20 mins ago
A visitor from Batu caves viewed 'Rock Queen Ella to rock the Resorts World Genting ' 25 mins ago
A visitor from Hemel hempstead viewed 'Bersatu deputy information chief Dato Sri Ali Moha' 1 hr 6 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Former PM Abdullah Ahmad Badawi passes away TheSta' 1 hr 10 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Datuk Seri Najib Razak hadir memberi penghormatan ' 1 hr 24 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'China's President Xi Jinping arrives in Kuala Lump' 1 hr 28 mins ago
A visitor from Chennai viewed 'BEST FBKL' 2 hrs 1 min ago
A visitor from Bekasi viewed ''Dog in washing machine' video leads to arrest of ' 2 hrs 49 mins ago