3 September 2023 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menyantuni rakyat Tawau, Sabah yang teruja menanti keberangkatan Baginda berdua di sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan di bandar Tawau, hari ini.
Semasa keberangkatan dari lapangan terbang menuju ke hotel, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memandu sendiri kereta dengan ditemani Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berulang kali meluangkan masa dengan berhenti dan turun kenderaan untuk bersalaman dan bergambar dengan penduduk yang menanti di tepi jalan raya menyaksikan keberangkatan Baginda berdua di Tawau.
Jadual keberangkatan tiba di hotel turut tergendala kira-kira enam jam susulan Seri Paduka Baginda berdua berkenan meluangkan masa menyantuni rakyat sepanjang perjalanan yang sepatutnya memakan masa 30 minit itu.
Sambutan luar biasa turut kelihatan dengan beberapa penduduk setempat mengibarkan bendera Malaysia dan Sabah dengan sorakan Daulat Tuanku sebagai simbolik menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua.
Ada juga beberapa penduduk setempat meminta motoked Seri Paduka Baginda berdua untuk berhenti atau memperlahankan konvoi ketika melalui jalan raya berdekatan kawasan mereka bagi mendapat peluang bertemu dan bersalaman dengan Baginda berdua.