Translate

09 June 2023

Tikam teman wanita sudah bersuami 18 kali, cemburu hubungan dengan lelaki lain



Tikam teman wanita sudah bersuami 18 kali, cemburu hubungan dengan lelaki lain

Bernama

Jun 9, 2023
Suspek membunuh kekasihnya itu gara-gara cemburu kerana percaya wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang tinggal serumah dengan mereka.

Tikam teman wanita sudah bersuami 18 kali, cemburu hubungan dengan lelaki lain

Suspek membunuh kekasihnya itu gara-gara cemburu kerana percaya wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang tinggal serumah dengan mereka. - Gambar hiasan

PETALING JAYA: Gara-gara cemburu, seorang lelaki warga India tergamak menikam sehingga 18 kali teman wanitanya menggunakan pisang pemotong buah di sebuah kondominium di Kelana Jaya di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata semuanya terbongkar selepas suspek yang berusia 30 tahun ditahan sepasukan Polis Bantuan Express Rail Link (ERL) Salak Selatan setelah menceroboh landasan dipercayai untuk membunuh diri, sehari selepas kejadian.

Beliau berkata suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan hasil soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku membunuh teman wanitanya berumur 40 tahun yang juga warga India antara 4 petang hingga 6 petang, 2 Jun lalu.



Menurut Mohamad Fakhrudin suspek membunuh kekasihnya itu gara-gara cemburu kerana percaya wanita berkenaan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki yang tinggal serumah dengan mereka.

"Susulan itu, sepasukan polis telah ke lokasi seterusnya menemukan enam warga asing termasuk seorang wanita selain seorang lelaki tempatan di dalam unit kondominium terbabit," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata suspek kemudian menunjukkan bilik mangsa sebelum polis kemudian menemukan seorang wanita dalam keadaan terbaring dengan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa selain menjumpai sebilah pisau dipercayai digunakan untuk membunuh.

Katanya mangsa yang telah berkahwin dan mempunyai suami serta anak di India datang ke Malaysia bersama suspek kira-kira tiga bulan lepas menggunakan pas lawatan sosial.

Mangsa bekerja sebagai pendandan rambut di Kota Damansara manakala suspek sebagai pelayan restoran di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara.

Beliau berkata suspek bersama tujuh lagi penghuni kondominium berkenaan direman selama tujuh hari sejak 4 Jun lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.

-- BERNAMA


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED