PM Anwar doakan Agong, Raja Permaisuri peroleh haji mabrur
Bernama
Jun 21, 2023 13:47 MYT
Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan berbual bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) dan Luqman Abdullah sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji di Istana Negara hari ini. - Foto FB Anwar Ibrahim
PM Anwar doakan Agong, Raja Permaisuri peroleh haji mabrur
Al-Sultan Abdullah (kanan) berkenan berbual bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) dan Luqman Abdullah sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji di Istana Negara hari ini. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berangkat ke Tanah Suci hari ini, memperoleh haji yang mabrur dan segala urusan ibadah haji berjalan lancar.
Anwar yang menghadiri Upacara Keberangkatan Seri Paduka berdua di Istana Negara pagi ini, turut mendoakan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
"Mendoakan semoga Tuanku sekalian memperoleh ibadah haji yang mabrur dan diberi kesihatan yang baik serta dilancarkan segala urusan ibadah haji di Tanah Suci Makkah," katanya menerusi catatan di Facebook.
Seri Paduka berdua dijadual berada di Tanah Suci bermula hari ini hingga 2 Julai.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf, yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.
Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun.
-- BERNAMA