Pelajar Tingkatan Lima ditahan bersama heroin bernilai RM40,000
Bernama
Jun 28, 2023
Polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun serta merampas sejumlah dadah disyaki heroin seberat 74.80 gram bernilai RM40,000, semalam. - Gambar hiasan/Twitter @bernamadotcom
Pelajar Tingkatan Lima ditahan bersama heroin bernilai RM40,000
Polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun serta merampas sejumlah dadah disyaki heroin seberat 74.80 gram bernilai RM40,000, semalam. - Gambar hiasan/Twitter @bernamadotcom
PASIR PUTEH: Polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun serta merampas sejumlah dadah disyaki heroin seberat 74.80 gram bernilai RM40,000, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata remaja yang juga pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di sini, ditahan ketika serbuan dilakukan di tepi jalan di Kampung Lembah Semerak pada 5 petang.
Beliau berkata ketika intipan dilakukan suspek dilihat sedang duduk di atas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR warna kuning/hitam tanpa nombor pendaftaran di tepi jalan.
"Suspek bertindak untuk cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang membuat serbuan.
"Hasil pemeriksaan ke atas motosikal suspek telah ditemukan sebanyak 20 botol plastik cerah bertudung kuning yang setiap satu botol berisi serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaizul Rizal berkata hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 4 Julai depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.
-- BERNAMA