Translate

25 June 2023

Pelajar tahfiz yang ditemui semalam -‘Naufal minum air parit, dengar nama dipanggil’ – bapa




‘Naufal minum air parit, dengar nama dipanggil’ – bapa
25 Jun 2023, 1:43pm

Naufal yang hilang dalam kebun hanya minum air parit untuk bertahan selama tiga hari. – FOTO: NSTP

IPOH: Pelajar tahfiz yang ditemui semalam selepas tiga hari dilaporkan hilang dalam kebun getah di Kampung Tanjong Sejarah, Kampung Tawai dekat Gerik, mendakwa terdengar suara orang memanggil namanya, namun tidak melihat sesiapa.

Berdasarkan kisah diceritakan oleh Muhammad Naufal Adzimi, bapanya, Mohd Harriz Muhamed, 46, berkata anaknya yang berusia 17 tahun itu berada di kawasan sekitar tetapi tidak berupaya untuk menjumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang kehilangannya.

Artikel berkaitan: Naufal akhirnya ditemui

“Muhammad Naufal Adzimi juga tidak makan selama tiga hari dan hanya minum air parit yang terdapat di kawasan kebun itu,” kata Penolong Jurutera Majlis Daerah Gerik itu.

Mohd Harriz berkata, ketika kejadian, anak kedua daripada lima beradik itu keluar dari rumah pada awal pagi untuk menunaikan solat subuh di Masjid Jamek Gerik sebelum hilang dan tidak pulang.

Beliau berkata, anaknya memberitahu ketika menunggang motosikal seorang diri, tiba-tiba dia hilang kawalan sebelum tidak sedarkan diri.

Mohd Harriz berkata, usaha pencarian Muhammad Naufal hanya menemui motosikal ditunggangnya di kawasan kebun berkenaan sebelum beliau melaporkan kehilangan anaknya itu kepada pihak polis.

Menurutnya, anaknya yang mengalami beberapa kesan calar pada muka dan badannya kini masih menerima rawatan di Hospital Gerik dan berada dalam keadaan stabil.

Semalam, pasukan SAR melaungkan azan sebelum menemui pelajar yang dikatakan mengalami kecelaruan minda itu dalam keadaan selamat pada jam 10.49 pagi kira-kira dua kilometer dari lokasi motosikal yang ditinggalkan mangsa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad dilaporkan berkata lokasi berkenaan sebelum ini telah dibuat pencarian, namun kemungkinan situasi mangsa yang bergerak menyebabkan dia tidak dijumpai sebelum ini.

Operasi hari keempat semalam melibatkan kekuatan anggota 94 orang termasuk polis, unit K9 bomba, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam. – BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED