Lokman Adam bebas tuduhan sebar berita palsu mengenai vaksin, COVID-19
Bernama
Jun 23, 2023 11:25 MYT
Lokman Adam bebas tuduhan sebar berita palsu mengenai vaksin, COVID-19
Hakim membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dihadapi Lokman (foto). -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam daripada dua pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman Facebook miliknya berhubung kemasukan warga India menyebar virus COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis akibat vaksin, pada April dan Mei 2021.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dihadapi Lokman, 50, di bawah Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021, di akhir kes pendakwaan.
"Pihak pendakwaan gagal mengasaskan satu kes prima facie terhadap tertuduh. Mahkamah dengan ini memerintahkan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya. Wang jaminan (RM20,000) dikembalikan," katanya.
Pada 1 Okt 2021, Lokman mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual tentang kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran virus COVID-19 dan kematian seorang pegawai polis yang dikaitkan dengan vaksin.
Penyebaran itu melalui aplikasi media sosial Facebook atas nama profil "Lokman Adam" itu dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam yang didakwa dilakukan pada 10.55 malam, 3 Mei dan 10.38 malam, 9 April 2021.
Dua rakaman itu kemudian dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, di sini pada 4.40 petang, 9 Mei dan 8.55 malam, 11 April 2021.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh manakala Lokman diwakili peguam Logen Eskander.
Ketika ditemui media di luar mahkamah selepas prosiding, Lokman yang hadir ke mahkamah berbaju Melayu biru mengucapkan terima kasih kepada hakim dan mahkamah yang mendengar kesnya serta peguam yang mewakili beliau.
"Dengan pembebasan saya daripada pertuduhan ini, maknanya seperti yang dihujahkan peguam saya, tidak ada keterangan saya yang menyalahi fakta ataupun bak kata orang, tidak benar," kata Lokman.
-- BERNAMA