Translate

11 June 2023

IMIGRESEN INDONESIA, MALAYSIA CARI PENYELESAIAN ISU PATI

 IMIGRESEN INDONESIA, MALAYSIA CARI PENYELESAIAN ISU PATI




Kredit : Imigresen Indonesia

10/06/2023 04:49 PM

JAKARTA, 10 Jun (Bernama) -- Isu pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menjadi agenda utama pertemuan antara Imigresen Indonesia dan Malaysia  baru-baru ini.

Mesyuarat itu dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Ruslin Jusoh dan rakan sejawatnya Silmy Karim yang diadakan di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya pada Selasa.

“Lawatan ke Imigresen Malaysia bertujuan untuk mencari penyelesaian bagi PATI warga Indonesia yang bekerja supaya boleh menjadi pekerja sah,” kata Silmy  dalam satu kenyataan.

Pihaknya bersedia mengeluarkan pasport kepada PATI yang berkerja dan mencadangkan Imigresen Malaysia mengeluarkan  pas kerja dengan prosedur tertentu sehingga mereka mempunyai dokumen lengkap.

Mesyuarat itu turut menyentuh mengenai usaha pencegahan jenayah pemerdagangan manusia.

Menurut kenyataan itu, terdapat 450,000 pekerja Indonesia yang direkodkan kerajaan Malaysia setakat ini, berbanding 1.5 juta pekerja yang direkod Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.

Malaysia telah menghantar pulang 11,000 pekerja Indonesia manakala seramai 309 warga Indonesia masih berada di Depot Tahanan Imigresen Malaysia.

Sebelum menghadiri mesyuarat itu, Silmy sempat meninjau Imigresen Indonesia di Pontianak dan Entikong, Kalimantan Barat yang terletak di sempadan MalaysiaIndonesia pada Isnin.

Beliau turut melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu yang merupakan pintu masuk antara Sarawak dan Kalimantan Barat, kira-kira 100 kilometer dari Kuching.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED