ACC: Saya hanya mahu tamatkan perlumbaan walaupun sakit - Shah Firdaus
Astro Arena
Jun 19, 2023
Shah Firdaus ketika ditemu bual wartawan Astro Arena selepas terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan separuh akhir acara keirin ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, 18 Jun 2023. - Foto Astro ARENA
ACC: Saya hanya mahu tamatkan perlumbaan walaupun sakit - Shah Firdaus
Shah Firdaus ketika ditemu bual wartawan Astro Arena selepas terlibat dalam kemalangan ketika perlumbaan separuh akhir acara keirin ACC 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, 18 Jun 2023. - Foto Astro ARENA
PELUMBA berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, berkata dia hanya mahu menamatkan perlumbaan separuh akhir acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 biarpun berada dalam kesakitan selepas terlibat dalam kemalangan.
Pelumba negara itu dilanggar basikal lawan sehingga terjatuh di Velodrom Nasional, Nilai semalam tetapi dia mempamerkan semangat terpuji untuk bangkit meneruskan perlumbaan hingga ke garisan penamat biarpun keadaan basikalnya rosak teruk.
Usahanya itu terbalas apabila disahkan layak ke pusingan akhir selepas semakan 'photo finish' dan kehadirannya dalam perlumbaan final jelas membantu Datuk Azizulhasni Awang memenangi pingat emas dengan memecahkan formasi tiga pelumba Jepun, di mana dia turut memenangi pingat gangsa acara itu.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, Shah Firdaus berkata: "Selepas pelumba Jepun memulakan gerakan, kayuhan saya memang amat lancar tetapi kemudian secara tiba-tiba, saya tidak tahu apa yang berlaku, ia berlaku dengan amat pantas.
"Rupa-rupanya tayar pelumba China berlanggar dengan pelumba Jepun dan kami kesemua lima pelumba lain memang terbang.
"Dalam fikiran saya, saya hanya mahu menamatkan perlumbaan sahaja kerana kami mahukan mata kelayakan ke Sukan Olimpik.
"Jadi saya hanya mengambil semula basikal saya dan teruskan kayuhan tetapi saya tidak dapat tekan kaki saya kerana basikal saya sudah rosak sepenuhnya. Mujur ia masih boleh bergerak.
"Alhamdulillah, saya masih layak ke final dan dalam final, saya hanya mahu melakukan yang terbaik kerana tidak mahu menyesal.
"Tetapi dengan kondisi tubuh saya yang memang amat sakit -- saya tertusuk 'saddle' basikal saya -- dan saya juga tidak biasa dengan basikal kedua itu kerana posisinya agak berbeza dengan basikal yang saya gunakan sebelum kemalangan itu.
"Saya hanya melakukan yang terbaik dan dapat nombor tiga, Alhamdulillah," katanya.