Translate

14 March 2021

Nizam Alias berkata beliau tidak tahu mengenai “pemecatannya” sebagai CEO Prasarana

 Tak tahu pun saya dipecat, kata bekas CEO Prasarana

FMT Reporters -March 12, 2021 6:28 PM

PETALING JAYA: Nizam Alias berkata beliau tidak tahu mengenai “pemecatannya” sebagai CEO Prasarana Malaysia Bhd, malah belum menerima notis rasmi daripada lembaga pengarah syarikat berhubung perkara itu.


Pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman pada Selasa mengumumkan Nizam ditamatkan perkhidmatan dengan berkata, perkara itu diputuskan lembaga pengarah.


Nizam berkata, sidang media Tajuddin pada Selasa mungkin usaha untuk “meletakkan tekanan atau bertindak sebelum” lembaga pengarah, dan menyifatkan siasatan terhadapnya berkaitan dakwaan salah laku sebagai tidak memuaskan, Malaysiakini melaporkan.


“Saya digantung tugas sebagai presiden dan CEO kumpulan Prasarana dari 10 Dis 2020 kerana, antara lain, dituduh tidak cukup bekerjasama dengan pengerusi bukan eksekutif (Tajuddin) berhubung kehendaknya melantik kontraktor tertentu serta melaksanakan perkara tertentu.


“Pada 22 Jan 2021, tuduhan itu digugurkan dan saya sekadar dituduh berkelakuan ‘tidak sopan’ terhadapnya dalam satu keadaan. Itu yang saya faham. Saya kemudian diberitahu lembaga akan membuat keputusan dan memaklumkan saya mengenainya.”


Menurutnya, beliau menganggap Tajuddin sendiri ada konflik daripada menyertai siasatan dan keputusan kerana tuduhan itu mempunyai kaitan dengan hubungan antara mereka.


Katanya, lebih baik jika Tajuddin tidak terlibat dalam siasatan itu disebabkan konflik kepentingan, dan menegaskan perlunya tadbir urus baik dalam hal berkenaan.


Pada Selasa, Tajuddin mengumumkan Norlia Noah sebagai CEO baharu Prasarana, mengambil alih daripada Nizam yang dikatakan ditamatkan perkhidmatannya pada 22 Feb.


Katanya, keputusan itu dibuat selepas lembaga pengarah mempertimbangkan keseluruhan isu yang berlaku secara mendalam.


Menurut laporan sebelum ini, Prasarana menggantung tugas Nizam dan mengarahkannya bercuti sejak 9 Dis, dengan jawatankuasa khas menyiasat dakwaan salah laku terhadapnya.


Penggantungan tugas Nizam itu dilaporkan pada 8 Dis dan dikatakan berkait dengan hubungannya yang “tegang” pada peringkat kepemimpinan selepas Tajuddin dilantik sebagai pengerusi.


Tajuddin, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, dilantik menjadi pengerusi Prasarana pada Mei tahun lalu.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED