Translate

24 March 2021

Insiden Kren SUKE: Mayat Terakhir Berjaya Dikeluarkan 3.58 Pagi Ini

Insiden kren SUKE: Mayat terakhir berjaya dikeluarkan

Astro Awani
24/3/2021

KUALA LUMPUR: Mayat terakhir mangsa maut akibat komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dalam kejadian pagi Isnin, berjaya dikeluarkan awal pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, mayat pekerja pembinaan warga China yang tersepit di antara struktur besi itu dikeluarkan pada 3.58 pagi.

"Mayat mangsa telah dikeluarkan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu malam tadi, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khairul Azuwan Ibrahim berkata, kerja-kerja menstabilkan struktur binaan ‘U Beam’ di tapak pembinaan itu selesai dilaksanakan kira-kira pukul 9 malam.

Ia kemudiannya disusuli kerja-kerja untuk menurunkan dua buah ‘winch’ yang dijangka mengambil masa selama tiga jam.

"Sebaik kerja-kerja itu selesai, proses mengeluarkan mayat yang terhimpit akan dilakukan," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, operasi mengeluarkan mayat ketiga insiden itu mengalami kesukaran dan memakan masa yang lama disebabkan struktur binaan yang tidak stabil dan mangsa tersepit di antara rasuk binaan dan struktur kren gantri.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi sebelum ini memaklumkan, identiti tiga warga China yang maut dikenal pasti sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.

Mangsa terakhir yang masih belum berjaya dikeluarkan akibat terhimpit di antara struktur besi semalam adalah Mu Tong Zheng.

Dalam insiden jam 8.45 pagi Isnin, lima buruh asing dan seorang warga tempatan terbabit dalam kejadian berkenaan.

Dua buruh asing maut terjatuh dari ketinggian 40 meter, seorang maut kerana tersepit pada struktur besi manakala dua lagi terselamat.

Sementara itu, seorang pemandu kereta yang ditimpa komponen kren gantri itu cedera di leher dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

Kejadian berlaku di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras, di sini.

Source: Astro Awani

FOR MORE NEWS GO TO:

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED