Translate

24 March 2021

Imigresen Tahan Sembilan Pekerja Rumah Urut Dalam Op Gegar

Imigresen tahan sembilan pekerja rumah urut dalam Op Gegar

BERNAMA
24/3/2021

SHAH ALAM, 24 Mac -- Jabatan Imigresen Negeri Selangor menahan sembilan wanita pendatang tanpa izin dipercayai pekerja rumah urut yang turut menawarkan perkhidmatan seks dalam Op Gegar di tiga premis di sekitar Subang Jaya dan Klang, semalam.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata penahanan kesemua wanita berkenaan terdiri daripada tiga warga Indonesia, lima warga Thailand dan seorang warga Vietnam dalam operasi yang dijalankan bermula 9 malam itu dilakukan pihaknya setelah pemeriksaan awal terhadap 22 individu di ketiga-tiga premis urut tersebut.

Mohamad Shukri berkata semasa serbuan dijalankan, ada di antara mereka yang sedang melayan pelanggan di bilik-bilik kecil yang dibina dalam premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan awal dipercayai premis tersebut menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan menawarkan pakej urutan badan dan perkhidmatan seks dengan bukti penemuan kondom yang telah digunakan di dalam bilik dan beberapa bungkusan yang masih belum digunakan di stor premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat beberapa pendatang dan pelanggan yang cuba melarikan diri namun tidak berjaya kerana anggota operasi telah mengepung premis tersebut.

Mohamad Shukri berkata siasatan juga mendapati setiap pelanggan yang ingin mendapatkan kedua-dua perkhidmatan itu dikenakan bayaran sebanyak RM150 bagi tempoh 45 minit.

Katanya sembilan wanita tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit yang sah, 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 (melanggar syarat pas yang telah diberikan).

“Kesemua wanita yang berusia 23 hingga 43 tahun itu telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Selangor bagi siasatan lanjut dan seterusnya akan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih. Mereka dibawa ke klinik kesihatan bagi menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum ditempatkan di depot tahanan,” katanya.

Mohamad Shukri berkata premis rumah urut yang dipercayai tidak berlesen itu juga tidak memaparkan sebarang papan iklan perniagaan bagi mengaburi pihak berkuasa dan dilengkapi dengan camera litar tertutup (CCTV) dipercayai bertujuan mengesan kehadiran pasukan operasi sekiranya serbuan dilakukan.

“Pasukan operasi juga terpaksa memecahkan pintu jeriji besi dan bermagnet kerana tidak mendapat kerjasama dari penghuni bagi melakukan pemeriksaan,” katanya.

“Pihak Jabatan Imigresen juga akan turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan majikan atau pelindung kepada pendatang asing tanpa izin ini dan sekiranya terbukti akan turut dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa termasuk didakwa di mahkamah,” katanya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED