Translate

24 March 2021

Imigresen Serbu Dua Restoran, Tahan 29 Warga Asing


Imigresen serbu dua restoran, tahan 29 warga asing

BERNAMA
24/3/2021

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan 29 warga asing selepas menyerbu dua buah restoran di Kampung Abu Bakar Baginda, Kajang dan Presint 11 di sini semalam, kerana disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka yang ditahan berusia 21 hingga 55 tahun terdiri daripada seorang lelaki warga Myanmar, 10 lelaki dan 11 perempuan warga Indonesia, serta tujuh lelaki warga India.

Beliau berkata dalam operasi itu juga, seorang lelaki warga asing telah bertindak agresif dalam usaha melarikan diri, namun tindakan pantas beberapa pegawai Imigresen berjaya menahan lelaki tersebut.

"Seorang pegawai kanan tercedera dalam insiden ini dan beliau terus dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera. Pihak hospital mengesahkan ibu jari tangan pegawai tersebut telah patah dan diberi rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk melakukan ujian saringan COVID-19.

"Setelah keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif, mereka akan dibawa dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya menambah tiga lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.

Khairul Dzaimee berkata kes tersebut disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Jabatan Imigresen menasihatkan kepada semua majikan agar mendapatkan pas yang sah dan mematuhi syarat-syarat bagi pengambilan pekerja asing. Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku.

"Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warganegara asing dan majikan yang cuba mengambil kesempatan," katanya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED