Translate

08 March 2021

442 Ditahan Ingkar SOP



Penamatan awal PKPD di empat lokaliti hari ini - Ismail Sabri

Astro Awani
8/3/2021

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan (PKPD) di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang tamat hari ini, lebih awal daripada jadual asal iaitu 15 Mac.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, keputusan itu diambil selepas kerajaan membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

"Sehingga kini, KKM (Kementerian Kesihatan) telah melaksanakan 471 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif hanya satu kes telah dilaporkan yang melibatkan lokaliti ini.


"KKM mengesahkan kes positif hanya dikesan dalam Felda Ulu Jempol dan semua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk telah dikenal pasti, disampel dan diasingkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu katanya, seramai 442 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 430 dikompaun, 11 direman manakala satu lagi dijamin.

"Antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (144), tiada penjarakan fizikal (88), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (38), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (lapan), keluar rumah tanpa alasan munasabah (dua) dan lain-lain (11)," ujarnya.

Jelasnya, pihak berkuasa melalui Op Benteng pada Ahad juga telah menangkap 33 orang pendatang tanpa izin (PATI) dan merampas empat buah kenderaan darat.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 102 buah bot atau kapal di perairan negara dan sembilan buah kenderaan darat melalui 12 aktiviti penglihatan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 87 operasi sanitasi dilakukan meliputi 27 zon merah, empat zon jingga, 11 zon kuning dan tiga zon hijau di seluruh negara.

"Ia melibatkan 410 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 220 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi (41) serta 81 buah jentera JBPM," katanya.

Sementara itu ujarnya, seramai 983 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara pada Ahad.

Selain itu, seramai 3,629 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 56 orang didapati positif COVID-19.

Source: Astro Awani

FOR MORE NEWS GO TO:
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penamatan-awal-pkpd-di-empat-lokaliti-hari-ini-ismail-sabri-286814

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED