Translate

09 March 2021

4 Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Rogol Remaja 13 Tahun

Empat lelaki mengaku tidak bersalah rogol remaja

Astro Awani
9/3/2021

KUALA KANGSAR: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Selasa mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Pengkalan Hulu, Gerik, bulan lalu.

Dua lagi didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa yang sama.

Kesemua mereka yang berumur antara 19 hingga 59 tahun membuat pengakuan itu apabila pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Muhammad Zul Haikal Rashidi, 19, menghadapi dua tuduhan merogol manakala rakannya, Muhammad Safaran Nurhan Suhaimi, 19, Muhamad Fakrul Nakimi Hussein, 29 dan Muhammad Saifullah Md Senapi, 21, masing-masing didakwa satu pertuduhan.

Razaimi Md Nor, 49, pula menghadapi dua tuduhan melakukan amang seksual manakala Noordin Mat Ramli, 59, menghadapi satu pertuduhan yang sama.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Simpang Perak, Air Panas, Pengkalan Hulu antara jam 9 malam 6 Februari lalu hingga 5 petang keesokan harinya.

Empat yang menghadapi tuduhan merogol didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Dua lagi yang dituduh melakukan amang seksual didakwa di bawah Seksyen 15 (a)(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Razaimi juga turut didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama kerana melakukan amang seksual dengan menyentuh punggung mangsa.

Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

Mahkamah membenarkan Muhammad Zul Haikal dan Razaimi diikat jamin masing-masing RM8,000 dengan dua penjamin manakala empat lagi yang menghadapi satu pertuduhan dibenarkan ikat jamin masing-masing RM7,000 juga dengan dua penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan tidak membenarkan kesemua tertuduh mendekati mangsa dan menetapkan 19 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rozman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Source: Astro Awani

FOR MORE NEWS GO TO:

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED