Translate

07 October 2020

Tipu Maklumat, Pemilik Kedai Telefon Didakwa 115 Pertuduhan



Tipu maklumat, pemilik kedai telefon didakwa 115 pertuduhan
BERNAMA
07/10/2020 07:39 PM



KUALA TERENGGANU, 7 Oktober -- Rentetan daripada aduan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkaitan berita palsu, seorang pemilik kedai telefon hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 115 pertuduhan melakukan pendaftaran maklumat tidak sah.

Ng Yean Ping, 33, yang mengaku bersalah didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan identiti 35 warga asing dan satu daripada nombor tersebut telah digunakan untuk penyebaran berita palsu yang tular empat tahun lepas.

Dia didakwa membuat capaian kepada kandungan sistem Multi Channel Portal (MCP) Digi Telecommunications Sdn Bhd dan menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa ke atas kandungan sistem MCP iaitu dengan memasukkan maklumat seramai 35 warga asing.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di K Five Mobile 1127 A&B, Jalan Bukit Kecil, di sini antara 18 April hingga 10 Jun 2016.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.

Hakim Nooriah Osman bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap Ng esok bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan maklumat tambahan berhubung fakta kes.

Ketika prosiding, mahkamah diberitahu bahawa perbuatan tertuduh dikesan susulan laporan yang dibuat oleh Bernama berhubung berita palsu bertajuk 'Sultan Mizan Kembalikan Darjah Kebesaran Kepada MB Terengganu' bertarikh 1 Jun 2016.

Hasil siasatan mendapati berita palsu tersebut dihantar menerusi nombor 010 3873508 yang didaftarkan atas nama warga asing bernama 'Ismail', namun semakan mendapati nama tersebut tiada dalam rekod Jabatan Imigresen.

Berikutan penemuan itu, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menjejak kegiatan tertuduh dan mendapati sejumlah 115 nombor telah didaftarkan dengan maklumat palsu tanpa pengetahuan syarikat Digi.


Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada MCMC Norhani Mohd Adzhar dan Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala peguam Che Amir Che Musa bagi pihak tertuduh.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED