Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 17 hingga 30 Okt. |
Polis akan laksanakan sekatan jalan raya di Labuan mulai esok
BERNAMA
16/10/2020 07:04 PM
LABUAN, 16 Okt -- Polis Diraja Malaysia akan mengadakan sekatan jalan raya di pulau bebas cukai ini berikutan arahan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 17 hingga 30 Okt.
Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata sekatan jalan raya itu akan dilaksanakan di dua jalan utama pusat bandar di Jalan Tun Mustapha dan Jalan Patau-Patau mulai 8 pagi esok.
Beliau memberitahu Bernama hari ini polis bersama Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengendalikan sekatan jalan raya seperti sebelum ini.
Muhamad Farid mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan hanya dua orang dalam satu kereta dan mereka yang bekerja dalam perkhidmatan penting membawa surat daripada majikan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Labuan semalam berikutan peningkatan kes COVID-19 di pulau itu.
--BERNAMA