Peringatan buat selebriti dan ahli perniagaan, jangan sampai SPRM 'jemput' - Azam
Astro Awani
8 Oktober 2020
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram Macau Scam untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, perkara itu bagi mengelakkan SPRM bertindak menahan mereka yang berkenaan dalam masa terdekat.
"Tidak kira selebriti atau siapapun dan mana-mana pihak yang pernah menerima (dana sindiket) daripada individu yang ditahan SPRM diminta tampil sebelum kami panggil.
"SPRM ada senarai nama individu termasuk selebriti dan ahli perniagaan, jadi kami minta datang dan kami akan layan dengan baik jika beri kerjasama. Jangan tunggu kami panggil," katanya dalam temu bual secara langsung menerusi slot 'SPRM 360' di MACCfm.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung adakah individu berkenaan mengetahui pembabitan sindiket, tegas Azam, amat mustahil sekiranya mereka tidak mengetahui kerana dana yang diberikan adalah dalam bentuk tunai.
"Jenayah pengubahan wang haram ini membabitkan kesalahan seperti menipu, rasuah atau merompak bank, yang mana wang itu perlu dicuci.
"Mereka yang menerima wang itu tidak boleh tidak tahu atau berkata mereka tidak tahu.
"Kerana apabila kita siasat, kita akan siasat sampai ke mana wang itu berada (diserahkan).
Menubuhkan perniagaan adalah antara cabang wang ini dicuci," jelasnya.
Sementara itu, Azam mengesahkan seramai 20 individu termasuk lapan daripada pasukan polis ditahan dalam operasi khas kes pengubahan wang haram melibatkan sindiket penipuan Macau Scam.
Katanya, pihaknya turut menyita 730 akaun bank yang mengandungi wang RM80 juta, wang tunai RM5 juta dan 23 kenderaan mewah dipercayai hasil aktiviti itu
“Daripada 20 suspek, seorang adalah lelaki warga China, 11 rakyat tempatan dan lapan pegawai penguatkuasa daripada satu agensi kerajaan.
“Semua rampasan ini dipercayai adalah hasil aktiviti haram dengan menipu orang ramai,” tambah beliau.
Sebelum ini, tiga individu dipercayai ahli perniagaan direman tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram membabitkan artis dan selebriti tanah air.
Source: Astro Awani
Selebriti, ahli perniagaan Macau Scam dalam senarai SPRM
Sindiket cuci duit: SPRM sita wang tunai RM5 juta, rampas 23 kenderaan mewah