Translate

24 October 2020

Darurat Tidak Akan Bantu Tangani COVID-19 - Dr Mahathir






Darurat tidak akan bantu tangani COVID-19 - Dr Mahathir
Astro Awani
24 Oktober 2020


KUALA LUMPUR: Pengisytiharan darurat tidak akan menghentikan penularan pandemik COVID-19, lebih daripada langkah-langkah yang telah pun diambil Kerajaan ketika ini, tegas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam catatan terbaharu di blog beliau www.chedet.cc, Dr Mahathir berkata, pengisytiharan darurat sebaliknya akan memberikan kuasa yang lebih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dakwa Pengerusi Interim Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu lagi, apa yang diakukan perdana menteri ketika ini tidak membantu mengurangkan masalah politik, ekonomi, dan sosial yang melanda negara.

“Beliau (Muhyiddin) ada Kabinet yang besar, yang langsung tidak menyumbang apa-apa kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

“Apa jua tindakan yang dilakukan ketika ini bersifat politik. Kerajaan ini bukan yang Kerajaan dipilih rakyat. Ia mengambil alih kuasa dengan cara yang tidak demokratik. Dan keutamaannya ketika ini hanyalah kekal berkuasa,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu lagi.

COVID-19 sebagai justifikasi darurat

Dr Mahathir mendakwa, COVID-19 hanyalah alasan yang akan digunakan untuk melengah-lengahkan proses perjalanan Parlimen, dan mengelak sebarang perbahasan.

Ujarnya lagi, COVID-19 akan menjadi justifikasi pengisytiharan darurat, sedangkan kuasa sedia ada dalam Kerajaan sudah mencukupi untuk menangani wabak itu.

“Kita tidak lihat bantahan (mengenai langkah sedia ada) oleh rakyat di Amerika Syarikat dan Eropah. Rakyat Malaysia secara keseluruhannya patuh terhadap langkah seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya lagi.

‘Kelebihan ada pada Muhyiddin atau ...?’

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa, Perdana Menteri cuba merealisasikan pengisytiharan darurat kerana berhadapan dengan kemungkinan dijatuhkan.

Dr Mahathir berkata, kelebihan akan memihak kepada Muhyiddin apabila Parlimen menjadi lumpuh, dan akan berkata ia adalah atas kehendak Istana.

“Ketika ini sudah ada khabar angin bahawa darurat akan menyebabkan pasaran saham jatuh menjunam. Jika ia diisytiharkan, pasaran saham akan lumpuh sepenuhnya. Para pelabur tidak akan yakin kemampuan Perdana Menteri menguruskan ekonomi negara.

“Beliau juga memburukkan lagi keadaan pandemik dengan cuba merampas kuasa di Sabah. Kenaikan mendadak ini adalah disebabkan Pilihan Raya Negeri Sabah. Dan kini Kerajaan Sabah sudah bertukar tangan. Apa kebaikannya kepada rakyat Sabah?” soal Dr Mahathir lagi.

Banyak negara keadaannya lebih buruk

Ulas beliau lagi, ada negara lain yang masalah penularan COVID-19 jauh lebih buruk berbanding Malaysia, namun darurat diisytiharkan pada kawasan-kawasan tertentu sahaja.

“Langkah itu adalah spesifik untuk kawasan tertentu sahaja. Tetapi tiada undang-undang dan Parlimen di negara itu yang akan tergantung, seperti mana jika Malaysia laksanakan Darurat.

“Tiada rusuhan atau keganasan di Malaysia, tiada pelanggaran kepada undang-undang atau perintah yang boleh memberi justifikasi kepada Darurat. Tetapi ada sesuatu yang boleh dilakukan terhadap Kerajaan yang mengambil kuasa melalui cara tidak demokratik,” katanya lagi.

Source: Astro Awani

FOR MORE NEWS GO TO:
https://beta.astroawani.com/berita-malaysia/darurat-tidak-akan-bantu-tangani-covid19-dr-mahathir-265035




Source: Facebook Dr. Mahathir bin Mohamad



Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED