Translate

22 October 2020

14 Ahli Sindiket Ah Long Diberkas Polis (1 Video)

 Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay





14 ahli sindiket Ah Long ditahan
14 ahli sindiket along diberkas polis
BERNAMA
22/10/2020


JOHOR BAHRU, 22 Okt -- Seramai 14 individu daripada pelbagai sindiket along ditahan polis dalam tujuh serbuan berasingan di negeri ini dan Melaka, pada September dan awal bulan ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata enam daripada suspek itu adalah lelaki warga tempatan berusia 25 hingga 35 tahun yang diberkas di lima lokasi masing-masing di Johor Bahru dan Ayer Hitam, Batu Pahat pada 15 hingga 18 Oktober lepas.

Penahanan enam suspek adalah hasil siasatan polis terhadap sebuah video tular di media sosial pada 3 Okt lepas yang mendedahkan tiga 'Youtuber' telah menjadi mangsa pinjaman along.

"Empat daripada suspek didapati memiliki rekod jenayah lampau iaitu berkaitan kes kekerasan dengan mendatangkan cedera parah, penipuan dan bersabit kes dadah.

"Turut dirampas semasa penahanan mereka ialah dua kenderaan iaitu jenis Honda dan Proton Wira, sepucuk pistol tiruan ‘ Air Soft Gun’, sebilah parang, 67 kertas dan buku yang tercatit nama dan nilai pinjaman wang," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata baki lapan lagi suspek pula ditahan di sebuah rumah pangsa di Bukit Baru Dalam, Melaka dan sebuah kedai di Danga Bay, Johor Bahru pada 29 Sept dan 12 Oktober lepas.

Kesemua mereka ini juga merupakan lelaki warga tempatan, berusia antara 25 hingga 44 tahun.

Turut dirampas bersama mereka ialah 31 telefon bimbit pelbagai jenis, sembilan kad bank, 17 slip urus niaga bank, wang tunai RM62,500 dan mata wang Dolar Singapura 300.

Menurut Ayob, sindiket pinjaman along ini didapati menggunakan modus operandi mengugut, melemparkan cat dan menggunakan api untuk menakut-nakutkan mangsa selain menyasarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

"Sindiket ini juga mengiklankan tawaran pinjaman mereka menerusi media sosial Facebook, meminta maklumat penuh mangsa termasuk penjamin, tidak mendedahkan syarat pinjaman serta mengarahkan peminjam mengambil gambar wang yang diberikan bersama lokasi rumah bagi memastikan alamat yang diberi peminjam adalah benar," katanya.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED