Translate

27 March 2025

Hilang barang kemas: Rosmah dibenar masukkan kerajaan, polis sebagai pihak ketiga



Hilang barang kemas: Rosmah dibenar masukkan kerajaan, polis sebagai pihak ketiga

Bernama

27/03/2025


Rosmah diberi kebenaran untuk memasukkan kerajaan dan PDRM sebagai pihak ketiga dalam saman USD14.57 juta difailkan terhadapnya oleh Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Lubnan, berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas. - Gambar fail


PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor diberi kebenaran untuk memasukkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia sebagai pihak ketiga dalam saman USD14.57 juta difailkan terhadapnya oleh Global Royalty Trading SAL, yang berpangkalan di Lubnan, berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk P. Ravinthran, Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu hari ini selepas membenarkan rayuan Rosmah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei tahun lepas yang menolak permohonannya.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Choo berkata Rosmah, yang juga isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, telah membuktikan kes prima facie untuk diberikan kebenaran mengeluarkan notis pihak ketiga.

Beliau berkata pihak ketiga yang dicadangkan mempunyai kewajipan statutori dalam menjaga dan mengawal barang kemas terbabit di bawah Seksyen 413(5) Kanun Tatacara Jenayah sekali gus mewujudkan kaitan antara Rosmah dan kedua-duanya.

"Sekiranya pihak ketiga yang dicadangkan didapati melanggar kewajipan statutori mereka, Rosmah boleh memohon ganti rugi daripada mereka," katanya.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty memfailkan saman itu mendakwa Rosmah telah berbohong dengan mengatakan bahawa 44 barang kemas termasuk rantai berlian, gelang dan tiara yang dihantar kepadanya oleh ejen syarikat itu telah disita oleh pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis, dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.

Global Royalty juga mendakwa isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Menerusi permohonannya untuk memulakan prosiding itu terhadap kerajaan dan polis, Rosmah mendakwa barang kemas yang dipertikai tiada dalam milikan beliau kerana telah disita oleh pihak berkuasa.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 29 Mei sebagai pengurusan kes untuk menentukan tarikh perbicaraan.

Pada prosiding hari ini, peguam Rajivan Nambiar dan Nur Aiman Sharizal mewakili Rosmah manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Nur Ezdiani Roleb serta Peguam Persekutuan Syafiq Affandy Hasan hadir bagi pihak kerajaan dan polis.

Peguam Venothani Rajagopal pula mewakili Global Royalty.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED

A visitor from Oslo viewed 'Bulan Sabit Merah Palestin dapatkan semula 14 maya' 1 min ago
A visitor from Oslo viewed 'Juruaudit syarikat rugi RM1.29 juta terperdaya pel' 9 mins ago
A visitor from Tennessee viewed 'Popular television host, actress and entrepreneur ' 9 mins ago
A visitor from Oslo viewed 'Umat Islam Bangkok sambut 1 Syawal dalam suasana s' 11 mins ago
A visitor from Paris viewed 'Jemaah Menteri ajak rakyat manfaatkan Aidilfitri k' 16 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed '10 Best Char Kway Teow Places In KL / PJ | BEST FB' 18 mins ago
A visitor from Kuala lumpur viewed 'Gempa bumi bermagnitud 7.7 landa tengah Myanmar | ' 51 mins ago
A visitor from Shah alam viewed 'Agong, Raja Permaisuri berkenan tunai solat sunat ' 51 mins ago
A visitor from Nevada viewed 'A second cousin of the Sultan of Johor was killed ' 1 hr ago
A visitor from New york viewed 'North Korean man who was arrested to assist in inv' 1 hr 14 mins ago