Translate

04 June 2024

Penduduk kawasan terjejas mula simpan air hadapi gangguan bermula esok

 Penduduk kawasan terjejas mula simpan air hadapi gangguan bermula esok

Bernama

04/06/2024 Penduduk kawasan terjejas mula simpan air hadapi gangguan bermula esok

Pengumuman dari Air Selangor itu turut mempengaruhi jualan barangan, terutama tong air di kedai perkakasan sekitar ibu kota. - Gambar hiasan

Penduduk kawasan terjejas mula simpan air hadapi gangguan bermula esok

Pengumuman dari Air Selangor itu turut mempengaruhi jualan barangan, terutama tong air di kedai perkakasan sekitar ibu kota. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: 'Sediakan payung sebelum hujan' adalah pendekatan diambil penduduk di kawasan sekitar Lembah Klang yang dijangka menghadapi gangguan bekalan air bermula esok hingga Khamis ini.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa premis perniagaan terutama kedai makan sudah membuat persiapan awal sejak minggu lalu.

Bagi peniaga nasi ayam kukus di Kampung Baru, Ahmad Zulfaqarullah Mohd Zuhdi, 29, beliau dan rakan niaganya mula menyimpan air bersih sejak Ahad lepas menggunakan tong-tong air dimiliki mereka.



"Walaupun ada yang cakap kawasan saya tak kena, tapi kita kena bersedia juga dengan sebarang kemungkinan. Lagi-lagi saya ini jual makanan. Jadi air ini memang sangat penting untuk buat minuman dan cuci pinggan mangkuk," katanya.

Air Selangor dalam kenyataan bulan lepas memaklumkan tujuh kawasan di Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Selangor, Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Shah Alam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual sementara mulai esok hingga 7 Jun ini.

Menurut syarikat tersebut, gangguan itu berikutan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) dan pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat bermula pada 3 pagi, 6 Jun.

Sementara itu, peniaga warung makanan di Puchong, Zaiton Abd Hamid, 65, berkata walaupun telah membuat persediaan awal, beliau perlu lebih berjimat cermat dalam menggunakan air bagi memastikan air yang disimpan mencukupi sepanjang tempoh gangguan berkenaan.

"Di waktu-waktu macam inilah juga, orang lebih memilih untuk makan di luar," katanya

Pengumuman dari Air Selangor itu turut mempengaruhi jualan barangan, terutama tong air di kedai perkakasan sekitar ibu kota.

Pekerja di sebuah kedai perkakasan, Justice Poh, 24, berkata, jualan tong air dan baldi 'laku keras' sejak minggu lalu.

"Memang banyak orang beli (tong air dan baldi). Kami juga perlu mengisi semula stok minggu ini sebab sudah habis," katanya.

Seorang pembeli, Mohd Idzham Dzulkifly, 39, ketika ditemui di kedai perkakasan menganggap ia sebagai pembelian yang perlu diutamakan ketika gangguan air sedemikian.

"Saya baru kali pertama kena situasi macam ini. Jadi saya datang beli tong untuk simpan air bagi kegunaan keluarga," katanya.

Sementara itu, pesara Jamaliah Bahadur Hisham turut menggunakan pendekatan sama dengan membeli beberapa tong untuk menyimpan air bagi kegunaan keluarganya.

"Saya hari Khamis ini nak ke Mekah, takkan nak biar anak-anak duduk di rumah tanpa air.

"Jadi saya datang beli empat tong untuk kegunaan rumah sendiri dan juga anak-anak sebab kawasan rumah mereka juga terkesan," katanya.

Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ atau aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300.


-- BERNAMA








Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED