Translate

25 June 2024

Konsert Double Trouble 2: Bekas penolong pengurus didakwa minta, terima rasuah



Konsert Double Trouble 2: Bekas penolong pengurus didakwa minta, terima rasuah

Bernama

25/06/2024
Noorfadhilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran Konsert Double Trouble 2, tahun lepas.- Foto Bernama


Konsert Double Trouble 2: Bekas penolong pengurus didakwa minta, terima rasuah

Noorfadhilah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran Konsert Double Trouble 2, tahun lepas.- Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penolong pengurus sebuah agensi kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung penganjuran Konsert Double Trouble 2, tahun lepas.

Tertuduh, Noorfadhilah Mohd Idris, 37, didakwa meminta suapan RM30,000 daripada Abd Zamin Abd Kadir sebagai upah untuk tertuduh membantu mendapatkan kelulusan Geran Dana Kandungan Digital bagi syarikat Playmad Sdn Bhd bagi penganjuran konsert tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, wanita yang sedang hamil lapan bulan itu didakwa menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu cek tunai RM13,900 daripada akaun bank milik Anggerik Event Sdn Bhd sebagai upah kerana membantu mendapatkan kelulusan geran sama bagi penganjuran konsert tersebut.







Noorfadhilah didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di ibu negara dan sebuah bank cawangan Setapak, Taman Setapak Indah Jaya di sini antara Januari dan 11 Sept 2023

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, Noorfadhilah boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Mohd Zali Shaari yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang sarat mengandung lapan bulan sudah tidak bekerja berikutan kes berkenaan.

"Anak guam saya kini sedang mengandung anak ketiga serta mempunyai dua anak masing-masing berumur empat serta sembilan tahun dan kini membantu suaminya yang bekerja sendiri," katanya.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 9 Ogos depan untuk sebutan kes.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED