Kes tinggal bayi depan masjid: Wanita dalam rakaman CCTV diminta tampil
Bernama
Jun 10, 2023
Bayi yang cukup sifat itu serta dibalut dengan kain ditemukan oleh jemaah masjid dalam keadaan sihat dan sempurna. - Foto PDRM
Kes tinggal bayi depan masjid: Wanita dalam rakaman CCTV diminta tampil
Bayi yang cukup sifat itu serta dibalut dengan kain ditemukan oleh jemaah masjid dalam keadaan sihat dan sempurna. - Foto PDRM
IPOH: Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru beberapa hari dilahirkan telah ditemukan di depan pintu utama Masjid An-Najihah Sungai Kepar dekat Semanggol di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kerian Superintenden Juna Yusoff berkata bayi yang cukup sifat itu serta dibalut dengan kain ditemukan oleh jemaah masjid dalam keadaan sihat dan sempurna.
"Bertindak atas maklumat yang diterima, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian digerakkan ke lokasi kejadian dan hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita dipercayai bangsa Melayu telah masuk ke kawasan masjid dan meninggalkan bayi tersebut," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata wanita itu dilihat beredar pada 11.58 pagi dan pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada bayi terbabit.
Juna berkata pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat dan meminta wanita dalam rakaman CCTV itu tampil ke IPD Kerian bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi," katanya.
-- BERNAMA