10 AHLI PARLIMEN DIPILIH PENGERUSIKAN JKPK PARLIMEN KE-15
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul (duduk, tengah) pada sidang media mengenai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Ke-15 (JKPK) di Bangunan Parlimen.
06/06/2023 06:28 PM
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini mengumumkan senarai nama 10 Ahli Parlimen yang dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen Ke-15 bagi membantu usaha menangani isu-isu rakyat dan negara.
Beliau berkata Ahli Parlimen yang dipilih daripada blok pembangkang dan kerajaan itu akan bertindak sebagai pengerusi JKPK serta berperanan sebagai pelengkap
kepada usaha pentadbiran kerajaan dalam membantu menyelesaikan isu-isu berbangkit demi memajukan negara.
"Mereka boleh membincangkan semua perkara yang sesuai di bawah terma rujukan tanpa perlu dirujuk kepada Menteri namun, perkara yang dibincangkan tidak
boleh melibatkan perkara yang telah, sedang dan akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
"Dalam JKPK ini juga ada Ahli Parlimen dari pihak pembangkang, mereka dwipartisan dan menghayati isu-isu itu bukan dari sudut politik, tetapi lebih kepada isu
negara dan hak kita bersama," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, katanya, Yang Dipertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sekiranya terdapat pertikaian terutama berkaitan saksi yang
dipanggil untuk memberi keterangan dan berkaitan prosedur perjalanan mesyuarat JKPK.
Sepuluh pengerusi JKPK yang diumumkan itu adalah Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) sebagai pengerusi JKPK Kewangan dan Ekonomi; Datuk Seri Dr
Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) - JKPK Kesihatan; dan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) - JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
Turut tersenarai Cha Kee Chin (PH-Rasah) bagi JKPK Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian; Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong
Manis) - JKPK Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi; dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) - JKPK Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan
dan Pembangunan Sumber Manusia.
Selain itu, Yeo Bee Yin (PH-Puchong) dipilih untuk JKPK Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat; Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala
Terengganu) - JKPK Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) - JKPK Keselamatan; dan Wong Chen (PH-Subang) - JKPK
Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa.
Johari berkata dengan penglibatan aktif Ahli Parlimen berpengalaman daripada pihak kerajaan dan pembangkang itu, JKPK mampu berperanan sebagai semak dan
imbang kerajaan, sekali gus membantu pihak Parlimen menyelesaikan isu-isu berbangkit khususnya melibatkan soal rakyat.
Katanya, jawatankuasa itu akan disokong sekretariat yang diperuntukkan oleh Parlimen melibatkan dua orang pegawai atau penyelidik yang berkhidmat sepenuh
masa.
-- BERNAMA