TINDAKAN DATUK BANDAR KL PERLU SELARI DENGAN HALA TUJU JWP
Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu Datuk Kamarulzaman Mat Salleh (duduk, kiri) menandatangani watikah pelantikan pada majlis serah terima tugas di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini. Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Mahadi Che Ngah (duduk, kanan) yang bersara pada 31 Mac lepas selaras dengan subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190). Turut serta Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar (kiri).
17/04/2023 02:00 PM
KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Walaupun Datuk Bandar Kuala Lumpur mempunyai ruang autonomi dalam menguruskan ibu kota, semua tindakan yang diambil perlu selari dengan hala tuju yang ditetapkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
Ketua Pengarah JWP Datuk Seri Rosida Jaafar berkata jabatan itu bertanggungjawab mencetus dan memangkinkan mekanisme kerjasama yang inovatif antara
pihak berkuasa tempatan (PBT) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
"Ini bagi mewujudkan sinergi tenaga dan sumber serta masyarakat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan untuk memenuhi aspirasi kerajaan yang lebih luas dalam
konteks pembangunan ekonomi dan sosial negara," katanya ketika berucap pada Majlis Serah Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Terdahulu, Rosida dan Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Abidin menyaksikan Majlis Serah Tugas antara bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri
Mahadi Che Ngah kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.
Pada masa sama, Rosida berharap dan yakin Kamarulzaman akan menyambung usaha terdahulu dalam memastikan kelestarian dan kesejahteraan ibu kota terus
dipelihara dan dipertingkatkan.
"Sudah pastinya pelantikan beliau ke jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur ini menjadi cerminan kepada pengiktirafan kemampuan warga DBKL sendiri untuk terus
meningkatkan daya saing bandar raya Kuala Lumpur.
"Cabaran besar ini semestinya akan dapat digalas melalui kerjasama yang erat dalam keluarga besar DBKL," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mahadi atas sumbangan cemerlang beliau sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ke-13.
"Usaha beliau ke arah pewujudan bandar raya rendah karbon menjelang 2030 serta bandar raya bebas karbon menjelang 2050 telah memacu Kuala Lumpur ke arah
sebuah bandar raya bertaraf dunia berorientasikan matlamat pembangunan mampan. Sudah pastinya segala inisiatif ini tidak akan dapat dilaksanakan tanpa
iltizam, kesungguhan dan integriti yang ditunjukkan beliau," katanya.
Pada 13 April, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Kamarulzaman sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat
kuasa hari ini hingga 14 Ogos 2024.
Kamarulzaman, 59, bekas Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) DBKL, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ukur (Pengurusan Harta Benda) dari Universiti
Teknologi Malaysia, mula berkhidmat dengan DBKL pada 1991 dan berpengalaman selama 32 tahun dalam pengurusan bandar raya serta dasar-dasar perancangan
bandar raya Kuala Lumpur.
-- BERNAMA