"Menyesal kahwin dengan Syamsul" - Puteri Sarah
Astro Awani
April 21, 2023
Puteri Sarah membuat pengakuan, kekesalan yang dilakukan dalam hidupnya ialah berkahwin dengan Syamsul Yusof.
KUALA LUMPUR: Konflik rumah tangga Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38,dan Syamsul Yusof, 39, terus memperlihatkan tanda-tanda belum reda apabila kedua-dua mereka saling berbalas kenyataan di media sosial.
Terbaharu, Puteri Sarah membuat pengakuan, kekesalan yang dilakukan dalam hidupnya ialah berkahwin dengan pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.
Pengakuan itu dibuatnya dalam hantaran di akaun Instagram peribadinya, hari ini.
Dalam masa sama, Puteri Sarah membuat permintaan buat kesekian kalinya daripada Syamsul supaya menceraikannya agar dia dapat keluar daripada perkahwinan yang disifatkannya penuh toksik.
“Aku hanya mahu ‘move on’ dan gembira bersama anak-anak aku. Satu benda yang paling aku yakin menyesal aku lakukan dalam hidup aku ialah berkahwin dengan kau, tapi aku bersyukur dapat mak dan bapa mertua yang paling terbaik dalam hidup aku,” kata Puteri Sarah yang memberi penghargaan kepada Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail yang juga bapa dan ibu Syamsul.
Puteri Sarah turut berikrar akan menghargai Yusof dan Patimah sebagai bapa dan ibunya sehingga ke syurga kelak.
Dalam hantaran itu juga, artis berkenaan turut meluahkan betapa dia sudah terlalu penat untuk melalui proses yang penuh ‘drama’.
“Sejujurnya aku sangat penat dengan semua drama yang berlaku. Kepada Mohd Shamsul, kau tak nak bagi nafkah aku? Suka hati kau. Kau nak menang? Kau menanglah, aku kalah.
“Kau jawab kat akhirat nanti. Aku hanya mahu keluar daripada perkahwinan toksik ini,” tulis Puteri Sarah dalam hantaran yang bercampur bahasa Melayu dan Inggeris itu.
Ibu kepada dua orang anak itu juga menegaskan, sekiranya Syamsul mendambakan kemenangan daripada perbicaraan kes itu, dia sedia memberikannya kepada suaminya.
“U nak menang? U ambillah semua harta-harta u. Aku tak nak satu sen pun. Cuma hak anak sebagai ayah bertanggungjawab. Lepaskan aku, ceraikan aku,” pinta Puteri Sarah daripada Syamsul.
Pada 18 April lalu, pasangan berkenaan pada asalnya dijangka menemui jalan penyelesaian terhadap krisis rumah tangga mereka, namun, keadaan sebaliknya pula berlaku apabila Syamsul menarik balik keputusannya untuk menceraikan Puteri Sarah.
Syamsul berkata, keenggannya melepaskan Puteri Sarah disebabkan oleh isterinya menambah beberapa terma dalam perjanjian perceraian mereka termasuk isu nafkah dan kes terhadap madunya, Ira Kazar.
Syamsul dan Puteri Sarah bernikah pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 5.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul mengejutkan dunia hiburan apabila membuat pengakuan memadukan Puteri Sarah dengan menikahi Ira Kazar di Thailand.