Aidilfitri: 18,000 hadiri Majlis Rumah Terbuka Sultan Johor
Bernama
April 23, 2023
Aidilfitri: 18,000 hadiri Majlis Rumah Terbuka Sultan Johor
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan bersalaman dengan rakyat jelata pada Majlis Rumah Terbuka di Istana Besar Johor hari ini. Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Kira-kira 18,000 masyarakat pelbagai kaum dan agama mengambil kesempatan meraikan hari kedua Syawal dengan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Istana Besar Johor, hari ini.
Bukan sahaja rakyat tempatan, malah pengunjung dari luar negara menunggu seawal 7 pagi di luar istana, sebelum dibenarkan masuk tepat 9 pagi.
Sultan Ibrahim yang memakai kemeja berwarna biru, tiba di Istana Besar tepat 10 pagi.
Baginda berkenan meluangkan masa lebih sejam bertemu rakyat dengan diiringi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Turut berangkat Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah. Berangkat sama, anakanda baginda iaitu Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj.
Seorang peniaga, Mohd Shafie Abdullah, 49, berkata dia bersama sembilan ahli keluarga bertolak dari Kluang seawal 6 pagi untuk tiba awal di istana.
"Ini kali pertama saya ke sini, tak pernah rasa macam ini, saya gembira dapat merasai kemeriahan menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sultan Johor. Semuanya baik," katanya kepada pemberita.
Suri rumah, Azalila A. Samad, 49, berkata dia dan keluarga tidak pernah melepaskan peluang untuk menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sultan Johor setiap kali terdapat penganjurannya.
"Tengoklah sendiri, suasana meriah dengan pelbagai kaum hadir bawa keluarga.
"Walaupun saya orang Melaka, ahli keluarga saya orang Johor semuanya. Kami memang sangat sayang Sultan Johor dan mesti datang kalau Sultan anjurkan apa-apa," katanya yang datang bersama suami dan lima anak.
Ahli geologi Low Wan Ching, 35, pula berkata ini pertama kali beliau menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sultan Johor.
Low dari Kuala Lumpur dan bercuti di rumah pak ciknya di bandar raya ini berasa sangat bertuah kerana merasai sendiri kemeriahan serta dapat menjamu selera di majlis itu.
Kali terakhir Sultan Ibrahim menganjurkan rumah terbuka ialah pada 2019 di Istana Pasir Pelangi, di sini.
-- BERNAMA
(Vlog) Majlis Rumah Terbuka DYMM Sultan Johor 2023 Cikgu Zahidi