Rakyat Malaysia bakal menyambut Hari Raya Puasa bagi kalendar 1444 Hijrah pada hari Sabtu .
Pengumuman pengisytiharan itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Sabtu 22 April 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi pengumuman rasmi yang disiarkan di saluran televisyen tempatan.
Ini selepas aktiviti cerapan anak bulan dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara, petang tadi.