MENANG KERETA SELEPAS BELANJA KELUARGA BELI PERSIAPAN AIDILFITRI
Seorang pengunjung Melaka Grand Ramadan Bazar (Malgreb) Muhammad Sharul Aiemi Abdullah,21, yang memenangi cabutan bertuah kereta Proton Pesona di sini malam tadi.
17/04/2023 10:04 AM
MELAKA, 17 April (Bernama) -- Rezeki membelikan persalinan baharu buat ahli keluarga bagi menyambut Syawal di Bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah, sebuah kereta Proton Persona 1.6 bernilai RM49,242 menjadi milik Muhammad Sharul Aiemi Abdullah.
Langsung tidak menyangka dikurniakan rezeki melalui cabutan bertuah itu, Muhamad Shahrul Aiemi, 21, hilang kata saat dihubungi penganjur yang menyampaikan berita itu kepadanya semalam.
"Masa cuti awal bulan ini, saya ada belikan pakaian dan berbelanja dalam jumlah RM800 di bazar ini untuk ahli keluarga sebagai persiapan raya. Sebelum ini tak pernah pun masuk apa-apa cabutan bertuah tapi kali ini, entah kenapa tergerak hati mahu menyertainya. Lagi pula orang tua yang suruh sebab katanya manalah tahu ada rezeki.
"Ketika dihubungi, awal-awal ingat betul ke tidak dapat kereta tapi bila tengok Tik Tok penganjur dan teringat ada masuk cabutan bertuah tempoh hari, saya semak semula tiket cabutan bertuah. Memang betul menang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima replika kunci kereta yang disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada majlis perasmian Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) Jalan Hang Tuah di sini malam tadi.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman dan penganjur Melgrab Muhd Fikri Mohd Ali.
Beliau yang baru sahaja tiga bulan menamatkan latihan polis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan bertugas di Negeri Sembilan juga menganggap kemenangan itu
sebagai kejutan dan hadiah buat keluarganya untuk Aidilfitri ini.
"Sebenarnya keluarga masih belum tahu saya menang dan saya harap kereta baharu ini akan memberi keselesaan untuk ibu dan ayah saya semasa mereka pergi beraya nanti," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata pihaknya akan berbincang dengan agensi berkaitan bagi memasukkan Melgrab dalam kalendar pelancongan negeri selepas melihat perkembangan positif penganjuran yang berjaya meraih jualan lebih RM3 juta menerusi 158 peniaga.
"Melihat sambutan dan penerimaan yang baik termasuk pengunjung dari luar seperti dari Negeri Sembilan, Johor dan Kuala Lumpur, saya akan berbincang dan masukkan penganjuran bazar ini dalam kalendar pelancongan Melaka.
"Ini juga secara tidak langsung akan menarik pelancong domestik khususnya untuk datang ke sini bagi melihat dan meraikan kemeriahan Melgrab di samping membantu industri perhotelan dan perniagaan lain yang agak perlahan sepanjang Ramadan," katanya.
Beliau berkata penjualan pelbagai produk yang merangkumi aspek persiapan Aidilfitri seperti pakaian, kasut dan songkok juga memberi impak dan tambah nilai kepada kehadiran pengunjung yang mencecah lebih 1.5 juta orang sejak 1 Ramadan lepas.
"Mungkin selepas ini jika ada produk dan rekaaan baharu, ia boleh diketengahkan di bazar ini bagi memudahkan orang ramai mendapatkannya sebagai persiapan hari raya. Malah pengisian yang dilakukan penganjur seperti kutipan tabung Ramadan untuk diberikan kepada golongan memerlukan juga membuka peluang kepada pembeli dan penjual untuk membuat amal jariah," katanya.
-- BERNAMA