Pengurusan masjid mohon maaf laung azan maghrib awal, mohon penduduk ganti puasa
ASTRO AWANI
April 8, 2023
Pengurusan masjid mohon maaf laung azan maghrib awal, mohon penduduk ganti puasa
Kesilapan tersebut adalah disebabkan masalah teknikal paparan jam digital waktu azan di masjid. - Gambar/ Astro AWANI
YAN: Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan di sini, mengakui melakukan kesilapan melaungkan azan maghrib dua minit sebelum masuk waktu sebenar pada 30 Mac lalu.
Timbalan Pengerusi masjid itu, Ahmad Nasir, yang meminta maaf atas insiden berkenaan berkata, kesilapan tersebut adalah disebabkan masalah teknikal paparan jam digital waktu azan di masjid.
“Semua para jemaah yang bergantung semata-mata kepada laungan azan Maghrib dari Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan untuk berbuka puasa, diharap semua maklum bahawa puasa tuan dan puan telah terbatal pada hari tersebut dan perlu diganti atau diqada.
“Begitulah pandangan Jumhur Ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqada’,” katanya dalam satu kenyataan rasmi masjid berkenaan.