Translate

08 April 2023

KPDN berkolaborasi dengan beberapa kementerian untuk mengatasi isu orang tengah

 KPDN KOLABORASI DENGAN BEBERAPA KEMENTERIAN ATASI ISU ORANG

TENGAH - SALAHUDDIN




Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub

07/04/2023

BUKIT MERTAJAM, 7 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkolaborasi dengan beberapa kementerian untuk mengatasi isu orang tengah dalam usaha membendung kenaikan harga barangan keperluan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata namun usaha itu bukan mudah dan pihaknya menjalankannya secara berterusan termasuk mengadakan libat urus dengan keseluruhan pihak  rantaian dan bekalan.

"Bagi mengatasi isu orang tengah supaya harga barang keperluan ditawarkan berpatutan, KPDN berkolaborasi dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam libatkan harga-harga barang import.

"Isu orang tengah ini diatasi secara berhemah dan kita juga sentiasa menjalankan sesi libat urus lebih kerap dengan semua pihak terutama peringkat rantaian serta bekalan. Sekiranya isu orang tengah dapat diatasi pengguna akan dapat harga berpatutan.

“Macam sekarang ini, sayur boleh didapati dengan harga munasabah dan tidak dibimbangi harganya akan naik Ramadan ini malah bekalan ayam dan sayur-sayuran juga sememangnya mencukupi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Memacu Kehidupan di Hari Raya Aidilfitri Inisiatif bersama Bakul Rahmah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata KPDN turut memberi jaminan bahawa semua barang kawalan terutama minyak masak paket bersubsidi mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri nanti.

"Dalam isu minyak masak paket, tidak timbul sebarang krisis dan bekalan diedarkan sehingga 60,000 metrik tan sebulan untuk seluruh negara, mencukupi setakat ini dan saya juga ada terima aduan dan mengakui bahawa memang terdapat dapat kekurangan bekalan (minyak masak paket) namun ia berlaku di beberapa tempat dan pada masa tertentu sahaja.

"Tapi, kalau aduan itu kita terima cepat, dalam masa yang singkat, pegawai (KPDN) akan bertindak dan pastikan bekalan tersebut diperiksa. Kalau memang betul ada masalah (bekalan) mereka (pegawai) akan usaha untuk dapatkan bekalan dari tempat lain (buat sementara waktu)," katanya.

Salahuddin berkata antara faktor yang menjurus ke arah kekurangan bekalan minyak masak paket bersubsidi itu adalah disebabkan oleh pelaksanaan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) dan isu kredit melibatkan peruncit dan pemborong.

Selain bekalan minyak masak paket bersubsidi, katanya bekalan ayam, telur ayam dan sayur-sayuran juga mencukupi sehingga Aidilfitri berdasarkan fakta yang dikongsikan bersama khususnya dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ketika ini.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED