Translate

02 April 2023

JAIPs panggil Ustaz Wadi Annuar- Ceramah tanpa tauliah di Perlis




HARIAN METRO

Kangar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) akan memanggil pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar serta penganjur, Lajnah Dakwah dan Perkaderan Pas Kangar.

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penyertaan pendakwah itu pada program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, di sini, semalam, tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis.

Ini berikutan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasa dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Ustaz Wadi yang mahu mengambil keterangan berhubung tindakan memberi ceramah di negeri ini.

Mufti Perlis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis Jabatan Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pendakwah dan penganjur dikehendaki hadir untuk diambil keterangan di Pejabat JAIPs pada 17 April ini dan proses tindakan undang-undang akan dijalankan secara sivil dan syariah selepas itu.

"Kita (Jabatan Mufti Negeri Perlis) yang keluarkan tauliah dan JAIPs yang melaksanakan penguatkuasaannya dan dalam hal ini, melalui perjumpaan dengan Exco Agama Islam Perlis, pihak berkenaan (Ustaz Wadi Annuar) sudah ditawarkan dan dipelawa memohon tauliah kerana kita akan nilaikan dulu, jadi dia pohonlah dulu tauliah itu.

"Kita hendak tengok juga siapa yang dia hendak ceramah tetapi dia enggan malah semasa dua kali perjumpaan bersama JAIPs juga sudah ditegaskan supaya minta tauliah tetapi dia tetap enggan dengan alasan tersendiri seperti ceramah itu dilakukan di premis peribadi dan sebagainya.

"Oleh hal demikian, apabila peristiwa ini berlaku, kita tengok ia sudah sampai ke tahap yang mana toleransi kita selama ini dianggap sebagai ruang mempersendakan peraturan apatah lagi selepas dikeluarkan titah oleh Raja Perlis dan pemerintah di negeri lain mengenai tauliah," katanya ketika ditemui di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini hari ini.

Katanya, dalam kejadian semalam, penguat kuasa JAIPs bukan datang untuk menangkap Ustaz Wadi sebaliknya hanya mahu mengambil keterangan saja.

"Namun, tindakan itu dihalang hadirin dengan cara yang tidak terhormat meskipun terdapat anggota polis yang hadir mengawal.

"Apa yang mendukacitakan juga adalah ada yang mengeluarkan perkataan kafir kepada pihak berkuasa agama dan ini adalah satu hal yang tidak wajar terutama kita ketika dalam Ramadan kerana kita mempunyai peraturan di semua tempat," katanya.

Beliau mempersoalkan tindakan pendakwah berkenaan yang mengambil alasan ceramah dilakukan di premis persendirian menyebabkan dia tidak perlu memohon pentauliahan daripada Jabatan Mufti Perlis.

"Apa maksudnya premis peribadi atau persendirian ini kerana semua premis mempunyai nama pemilik pada tanah. Sembang santai yang dimaksudkan ialah memberi ceramah santai kepada keluarga seperti isteri dan anak dalam skala kecil.

"Namun apabila diadakan dengan poster yang memanggil muslimin dan muslimat datang, tidak mungkin itu semua keluarga terdekatnya, ini juga satu penghinaan kepada pemikiran kita supaya diperbodohkan dengan isu ini," katanya.

Beliau berkata, isu penceramah tanpa tauliah bukanlah masalah setempat di Perlis saja tetapi ia diperkatakan di seluruh negara.

Disiarkan pada: Mac 31, 2023 @ 4:16pm

 

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED