Translate

09 November 2020

Wanita Gelang Merah Jambu Diiringi Polis Pulang Ke Rumah

             

Wanita gelang merah jambu diiringi polis pulang ke rumah

BERNAMA
09/11/2020 


MELAKA, 9 Nov -- Seorang wanita memakai gelang berwarna merah jambu diiringi polis pulang ke rumah selepas disyaki melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) COVID-19 dengan membeli barangan keperluan Deepavali di sebuah pasar raya di Batu Berendam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad berkata bertindak atas aduan yang dibuat oleh pengawal keselamatan pasar raya itu kira-kira 6.45 petang, sepasukan anggota polis telah ke premis berkenaan dan menjumpai wanita berusia 33 tahun itu bersama saudara lelakinya.

"Sebelum anggota polis tiba di lokasi, pengawal keselamatan menyuruh wanita yang memakai jaket lengan panjang berwarna hijau dan gelang merah jambu di tangan kanan itu keluar daripada pasar raya berkenaan dan memintanya menunggu di hadapan pejabat pengawal keselamatan.

"Selepas anggota polis mengambil butiran diri wanita itu, dia telah diarahkan pulang dan menyambung kuarantin di rumah dengan diiringi anggota polis bagi memastikan dia benar-benar tiba di rumah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan semakan, pihak Kementerian Kesihatan memaklumkan dan mengesahkan wanita itu adalah pesakit bawah pengawasan (PUS) dan tempoh kuarantin akan berakhir pada Khamis (12 Nov) ini.

"Tiada tangkapan dilakukan kerana wanita itu akan menyerah diri di balai polis selepas tempoh kuarantin berakhir dan selepas disahkan keputusan negatif COVID-19. Selain itu, tiada rakaman percakapan ke atas PUS, bagaimanapun siasatan masih diteruskan selepas keputusan PUS adalah negatif," katanya.

Kes diklasifikasi menurut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22B Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sebanyak 327 kes positif COVID-19 direkodkan di Melaka sehingga semalam dan terdapat kluster baharu di negeri ini iaitu Kluster Berendam yang dikesan di Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED