Translate

27 November 2020

Pengurusan program Sukma tidak dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan berkesan - Audit Negeri Sembilan





BERNAMA

27/11/2020 11:00 AM



SEREMBAN, 27 Nov -- Pengurusan program Sukan Malaysia (Sukma) di bawah Majlis Sukan Negeri, Negeri Sembilan secara keseluruhannya tidak dilaksanakan dengan cekap, berhemat dan berkesan yang menyebabkan sasaran keluaran (output) daripada aspek pencapaian pingat emas tidak tercapai.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berkenaan pengurusan aktiviti jabatan/agensi dan pengurusan syarikat kerajaan Negeri Sembilan tahun 2018 Siri 3 yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan hari ini, ia juga menyebabkan hasil yang ditetapkan tidak dapat diukur.

“Daripada aspek pengurusan program pula, pelaksanaannya adalah kurang cekap kerana terdapat kelemahan dalam aspek pemilihan atlet dan pelantikan serta penetapan elaun jurulatih yang tidak mengikut aturan ditetapkan.

“Pengurusan bayaran tidak mengikut prosedur kewangan menyebabkan berlaku kes elaun jurulatih terlebih bayar, bayaran tidak disertakan dokumen sokongan lengkap dan pembayaran elaun atlet tidak mempunyai kawalan dalaman yang teratur dan selamat,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga turut menyatakan pengauditan yang dijalankan terhadap amalan tadbir urus korporat Syarikat MAINS Hotel Sdn Bhd (MHSB) mendapati ia kurang memuaskan berikutan struktur tadbir urus yang diamalkan tidak selaras dengan amalan terbaik tadbir urus korporat malah kedudukan kewangan syarikat itu berada pada tahap kurang stabil meskipun mencatatkan keuntungan pada 2018, hasil penjualan aset.

“Prestasi aktiviti penyewaan bilik penginapan dan jualan F&B (makanan dan minuman) secara keseluruhannya belum mencapai sasaran yang ditetapkan. Strategi pemasaran dan pengurusan maklum balas dan aduan pelanggan juga masih tidak memuaskan,” menurut laporan itu.


Selain itu, perancangan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan untuk melaksanakan tiga projek mengganti jambatan bagi tempoh 2016 hingga 2019 secara keseluruhannya tidak dapat dicapai, dan hanya satu projek dapat disiapkan sepenuhnya manakala dua lagi dalam pelaksanaan setakat Julai 2019.

Mengenai laporan penyata kewangan kerajaan negeri dan agensi serta pengauditan pematuhan agensi negeri tahun 2019, ia menunjukkan kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah kukuh dengan baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun 2019 adalah berjumlah RM875.03 juta, meningkat sebanyak RM187.27 juta, berbanding RM687.76 juta pada akhir tahun 2018.

“Akaun Hasil Disatukan mencatatkan lebihan sejumlah RM147.47 juta berbanding RM26.45 juta pada tahun 2018. Kutipan hasil pada tahun 2019 menunjukkan peningkatan sebanyak RM135.20 juta atau 32.1 peratus kepada RM556.44 juta berbanding RM421.24 juta pada tahun 2018,” menurut laporan itu.


Laporan itu juga menyebut daripada 16 penyata kewangan yang dikemukakan agensi negeri, dua daripadanya iaitu Majlis Sukan Negeri Sembilan dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan telah disahkan dan diberi pendapat tanpa teguran dan baki 14 yang lain dalam proses pengauditan.

Mengenai pengauditan pematuhan agensi negeri yang dilaksanakan ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan, laporan itu menyatakan tunggakan hasil sewaan perbadanan itu berjumlah RM425,193 tidak dapat dikutip daripada 17 penyewa berikutan ketiadaan perjanjian yang sah menyebabkan syarat kontrak tidak dapat dikuatkuasakan.

Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil oleh ketua jabatan berkaitan, Jabatan Audit Negara telah mengemukakan 13 syor audit dalam LKAN aktiviti jabatan/agensi dan syarikat tahun 2018 Siri 3 dan 10 syor audit dalam LKAN penyata kewangan kerajaan negeri dan agensi serta pematuhan agensi tahun 2019.

LKAN mengenai pengurusan aktiviti jabatan/agensi dan pengurusan syarikat kerajaan Negeri Sembilan tahun 2018 Siri 3 dan LKAN mengenai penyata kewangan kerajaan negeri dan agensi serta pengauditan pematuhan agensi negeri tahun 2019, masing-masing telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 14 Julai dan 5 Nov lepas, setelah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kedua-dua laporan ini akan dimuat naik di laman sesawang Jabatan Audit Negara dan orang awam boleh melayarinya di alamat http://www.audit.gov.my selepas pembentangan di Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan, hari ini.

-- BERNAMA


Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED