Translate

27 November 2020

Bekas Pengarah Eksekutif DBKL melakukan Sujud Syukur Selepas Dilepaskan Daripada Hukuman Penjara 8 Bulan

 


RNAMA

27/11/2020 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov -- Bekas Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali, tidak dapat menahan sebak selepas dilepaskan daripada hukuman penjara lapan bulan, atas kesalahan salah guna kedudukannya berhubung lapan unit kondominium bernilai hampir RM2 juta, tujuh tahun lepas.


Syed Afendy Ali, 58, yang berada dalam kandang tertuduh juga terus melakukan sujud syukur, selepas Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, selesai membacakan keputusannya.


Hakim Sequerah membuat keputusan itu, selepas membenarkan rayuan Syed Afendy Ali terhadap hukuman penjara lapan bulan dan denda RM80,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen pada 20 Mac 2018.

“Mahkamah membenarkan rayuan perayu dan denda dipulangkan,” katanya.


Hakim Sequerah berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen dalam Seksyen 165 Kanun Keseksaan, bahawa Syed Afendy Ali menerima harta tak alih (unit kondominium) untuk individu yang disebut seperti dalam pertuduhan.


Berdasarkan pertuduhan pertama hingga kelapan, Syed Afendy Ali, yang sewaktu kejadian menyandang jawatan Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL, didakwa menggunakan kedudukannya, untuk mendapatkan lapan unit kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini.



Aset tersebut masing-masing bernilai RM249,990 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn Bhd, adalah untuk empat individu iaitu Minah Abdullah, Mazwan Amin Mohd Noor, Syed Ashraf Ali Syed Afendy Ali dan Rodziah Abd Samad.


Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Pengarah JPEPP DBKL, di Kuala Lumpur, di antara 6 Sept 2013 dan 16 Okt 2014 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.


Hakim Mahkamah Sesyen Allaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Afendy Ali, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.


Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal membayar denda dipenjara setahun, bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan hukuman berkenaan berjalan serentak.


Mahkamah itu bagaimanapun melepas dan membebaskan Syed Afendy Ali, atas satu pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan satu unit kedai pejabat tiga tingkat di Pusat Perdagangan Danau Lumayan Avevue, Bandar Tun Razak bernilai RM930,000 daripada syarikat Danau Lumayan untuk Rodziah, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.


Tertuduh turut dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah itu daripada sembilan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 membabitkan RM1.5 juta.


Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol yang mewakili pendakwaan ketika ditemui media selepas prosiding berkata, pihaknya akan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.


-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED