Translate

19 November 2020

Tiga Pelajar Sekolah Antara Lima Remaja Ditahan Miliki Dadah

                



40 tokan bekal dadah kepada pelajar dikesan
Tiga pelajar sekolah antara lima remaja ditahan miliki dadah

BERNAMA
19/11/2020 

JOHOR BAHRU, 19 Nov -- Lima remaja lelaki termasuk tiga pelajar sekolah menengah berusia 17 hingga 19 tahun ditahan, selepas polis menemui dadah jenis ganja bersama mereka di Taman Bandar Putra Kulai, dekat Kulai awal pagi semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua mereka ditahan di sekitar kawasan taman permainan kira-kira pukul 12.43 pagi, ketika pasukan polis dari Unit Rondaan Bermotosikal Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menjumpai dadah seberat 3.29 gram ganja dengan nilai rampasan RM164.50 dan hasil saringan ujian air kencing didapati ke semua suspek juga positif dadah jenis THC (Tetrahidrocannabinol).

Menurutnya, susulan tangkapan pelajar berkenaan, berkata pihaknya berjaya menahan 'pembekal' dadah di Jalan Teratai Kulai pada pukul 5.15 petang pada hari sama.

“Susulan soal siasat ke atas lima remaja berkenaan, kita menangkap seorang lelaki berusia 23 tahun yang bertindak sebagai pembekal,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ayob berkata polis Johor juga kini sedang mengesan baki 19 dari 40 orang pembekal dadah dan juga pengguna dadah secara kecil-kecilan berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun yang dikesan di negeri ini.

Beliau berkata, menerusi satu operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkortik Johor (JSJN) dari 29 Sept hingga 8 Okt lalu, telah menangkap 21 orang.

“Tiga tangkapan di bawah Seksyen 39A (2) ADB1952, Seksyen 39A (1) ADB1952 (enam), Seksyen 15 (1)(A) ADB1952 (10) dan dua di bawah Seksyen 39 C ADB 1952,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, JSJN IPK Johor pada Oktober lalu telah menemu bual 124 pelajar dari 177 pelajar yang positif dadah, dari 280 buah sekolah di negeri ini.

Hasil temu bual mendapati, pengaruh dari rakan yang tidak bermoral, masalah atau sejarah keluarga terlibat dadah dan sikap kurang peka tentang kesan penglibatan dadah, menjadi antara penyebab pelajar terjerumus dalam kegiatan tidak bermoral berkenaan.

“Bermula 1 Jan hingga 17 Nov, JSJN Johor telah menangkap 6,141 belia berumur 19 hingga 30 tahun.

“JSJN Johor juga telah berjaya membuat tangkapan 17,349 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan dalam tempoh sama keseluruhan dadah yang dirampas sebanyak 2.61 tan bernilai RM28.77 juta, serta turut disita adalah harta bernilai RM13.42 juta,” katanya.






Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED