Translate

19 November 2020

Rakan Politik Harus Jujur, Mandat Harus Dikembalikan Kepada Rakyat - Ahmad Zahid

                   
Belanjawan 2021: Rakan politik harus jujur, mandat harus dikembalikan kepada rakyat - Ahmad Zahid

Astro Awani
19 November 2020

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Dewan Rakyat terutamanya kerajaan untuk mengutamakan ujian terhadap legitimasi pimpinan masa kini.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 hari ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau melihat Dewan Rakyat sebagai medan terbaik untuk negara berada dalam kestabilan politik.

Menurut Presiden UMNO itu lagi, apa yang penting adalah semua pihak terus memberikan keutamaan kepada rakyat.

“Rakyat mesti diberikan keutamaan. Dewan yang mulia ini pentas terbaik untuk negara berada dalam situasi politik yang stabil. Sama ada terdapat usul undi percaya atau sebaliknya, ianya hendak diuji di Dewan yang mulia ini.

"Jika ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan Peraturan Mesyuarat, sesuatu mesti dipersesuaikan dengan urusan kerajaan mesti diutamakan. Biarlah kerajaan sendiri yang menjadikannya sebagai urusan kerajaan diutamakan, iaitu menjadi usul undi percaya dibawa ke Dewan yang mulia ini,” katanya lagi.

Dalam Aturan Mesyuarat untuk sesi kali ini, terdapat usul undi percaya dan 25 usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun mengikut Peraturan Mesyuarat sedia ada, urusan kerajaan perlu diberi keutamaan untuk dibahaskan di Dewan terlebih dahulu seperti perbahasan berkaitan rang undang-undang bagi undang-undang baharu dan pindaan terhadap undang-undang sedia ada.

Ketika berbahas lanjut, Ahmad Zahid berkata, seharusnya kejujuran perlu diutamakan dalam sesuatu gabungan parti politik.

“Tiada soalan mengenai siapa yang berbudi atau yang terhutang budi, tapi bagaimana kebersamaan harus diterjemahkan. Soal tipu muslihat politik hendak diketepikan, dan kejujuran politik perlu diberikan keutamaan. Jangan ada telunjuk lurus, kelingking berkait.

“Kejatuhan empayar-empayar terdahulu apabila pemimpin-pemimpin yang merasakan dirinya popular, melupakan soal pokok dan mengutamakan isu cabang. Ikhlas dan jujurlah. Rakyat di luar sana mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk mereka. Rakyat mesti diberikan keutamaan,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berkata, beliau memohon kesemua Ahli Parlimen, baik dari kerajaan mahupun pembangkang, untuk bersatu hati mengembalikan mandat kepada rakyat secepat mungkin.

“Secara ideal, keterlibatan rakyat hendak diberikan keutamaan. Ianya hendaklah dikembalikan kepada rakyat sesegera mungkin. Suara rakyat suara keramat. Dari rakyat kita diberi mandat, kepada rakyat juga kita serahkan mandat.

“Dalam perkara ini, kita ketepikan perbedaan sama ada di belah sini atau di sana, demi rakyat demi Dewan yang mulia ini. Marilah kita bersatu hari untuk melihat bahawa mandat rakyat harus diberikan semula. Dan mandat rakyat adalah mandat keramat,” katanya lagi.

Source: Astro Awani

FOR MORE NEWS GO TO:

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED