Translate

15 November 2020

Penilaian Dr Mahathir Pada Anwar Berdasarkan Pengalaman Lalu, Kata Mukhriz

                     

Penilaian Dr Mahathir pada Anwar berdasarkan pengalaman lalu, kata Mukhriz

Astro Awani
15 November 2020

ALOR SETAR: Penilaian Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkemampuan untuk memimpin negara ketika berhadapan dengan krisis ekonomi, dibuat berdasarkan pengalaman bekas Perdana Menteri itu pada 1997.

Sehubungan itu, Presiden (Penaja) Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan, dakwaan kononnya Dr Mahathir cuba untuk menghalang mandat rakyat dapat dikembalikan kepada Pakatan Harapan (PH) adalah tidak benar sama sekali.

Mukhriz menegaskan, tindakan Ahli Parlimen Langkawi itu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah disebabkan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat selain tidak mendapat jaminan bahawa aktiviti "lompat melompat" tidak berlaku dalam kalangan Ahli Parlimen.

"Saya ingat Tun (Dr Mahathir) menyatakan perkara yang benar, dia menceritakan mengenai tahun 1998 bila kita alami krisis kewangan, masa dia ambil cuti … dia serah kepada Datuk Sri Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, untuk ganti sebagai pemangku jawatan Perdana Menteri.

“Mungkin dilihat cara (Anwar) menguruskan kewangan negara dengan menerima sebulatnya-bulatnya syor daripada IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) ketika itu, tidak sesuai dengan keadaan, itu yang (Dr Mahathir) sebut dalam buku Doktor Umum… itu (juga) disebut dalam interviu baru-baru ini,” kata Mukhriz lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2021 Negeri Kedah oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman, di sini pada Ahad.

Terdahulu, Ketua Penerangan (Penaja) Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin menyifatkan tindakan PKR yang menuduh Dr Mahathir menghalang usaha mengembalikan mandat rakyat disifatkan sebagai gelojoh dan tidak berasas.

Menurut beliau, punca Langkah Sheraton terjadi adalah kerana pengkhianatan daripada kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam satu wawancara dengan sebuah portal berita baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, beliau pernah menguji keupayaan Anwar untuk menerajui negara selama dua bulan pada 1997 semasa negara dilanda krisis ekonomi.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu, tegas Dr Mahathir, tidak mampu untuk menguruskan krisis berkenaan menyebabkan beliau terpaksa mengambil alih jawatan Menteri Kewangan serta mengemukakan pelan pemulihan untuk menyelamatkan negara.

Source: Astro Awani

FOR MORE NEWS GO TO:

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED