Translate

06 November 2020

Kanak-Kanak Tujuh Tahun Maut Dalam Kemalangan Bersama Bapa Di Kluang

              

Kanak-kanak tujuh tahun maut dalam kemalangan bersama bapa di Kluang

BERNAMA
06/11/2020 


KLUANG, 6 Nov -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut, selepas motosikal yang ditunggang bapanya dilanggar sebuah keretaraya berdekatan Bulatan Batu Pahat, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng berkata pada kejadian pukul 11.51 pagi itu, kereta tersebut dipercayai dari arah bulatan dan menghala ke Jalan Besar, manakala motosikal yang dibonceng mangsa Nur Syafiah Munirah Zulnawarin, dari arah Jalan Besar menuju ke Jalan Tasik.

“Kemalangan ini berlaku apabila pemandu kereta telah melanggar bahagian kanan motosikal dan mengakibatkan penunggang dan pemboncengnya terjatuh.

“Bapa mangsa Zulnawarin Sarman, 49, dan pembonceng (Nur Syafiah) mengalami kecederaan yang agak serius dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia pada pukul 1.45 tengah hari ketika sedang menerima rawatan, manakala ayahnya masih berada di zon kuning Unit Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), di sini.

“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kenderaan yang terlibat ditahan untuk pemeriksaan lanjut serta kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Zulnawarin, Muhammad Nur Aiman, 19, berkata adiknya merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Katanya, ayahnya yang masih dirawat di hospital telah mengetahui mengenai adik bongsunya itu meninggal dunia dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan, dekat sini, setelah bedah siasat dilakukan.

“Ayah sudah sedar dan mengalami kecederaan patah di kedua-dua kakinya,” katanya.

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED