Translate

20 October 2020

Video Gaduh Tular Di Media Sosial, Empat Lelaki Didenda RM4,500 (1 Video)

Empat lelaki yang video rakaman pergaduhan mereka menjadi tular di media sosial
                                


TULAR | Polis Tahan Empat Lelaki Terbabit Kes Gaduh  
Video gaduh tular di media sosial, empat lelaki didenda RM4,500
BERNAMA
20/10/2020 


KUALA LUMPUR, 20 Okt -- Empat lelaki yang video rakaman pergaduhan mereka menjadi tular di media sosial baru-baru ini masing-masing didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan rusuhan dan menghalang tugas penjawat awam.

Mereka ialah juruteknik lif P. Raj Kumar, 30; penganggur V. Sardidram, 32; pemandu peribadi R. Yogiraj; dan penarik kereta I. Raymond, 29.

Majistret S. Mageswari turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagi kesalahan rusuhan, mereka masing-masing didenda RM1,500 atau penjara dua bulan dan bagi kesalahan menghalang tugas penjawat awam pula, mereka didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan setiap seorang.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa dengan niat telah melakukan rusuhan di hadapan sebuah restoran, di Jalan Telawi 2, di sini, pada 1.50 pagi, 11 Oktober lepas mengikut Sesyen 147 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mereka juga dituduh dengan sengaja menghalang tugas seorang pegawai polis, Muhammad Fitri Saidin dari menjalankan tugas rasminya di tempat dan masa sama mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda maksimum RM10,000 atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Amin Abdullah memohon hukuman denda minimum, dengan alasan kesemua anak guamnya adalah penanggung utama keluarga.

“Raj Kumar dan Raymond sudah bertunang dan akan berkahwin selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala Sardidram mempunyai seorang anak yang berusia setahun 10 bulan.

“Pengakuan salah mereka telah menjimatkan masa mahkamah dan kesemua tertuduh adalah pesalah kali pertama. Mereka juga insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh.

“Perbuatan kesemua tertuduh ini boleh menjadi lebih buruk jika pihak polis tidak datang meleraikan pergaduhan tersebut,” katanya.

Sebelum ini, video itu tular di media sosial yang menunjukkan sekumpulan lelaki bergaduh sambil dihalang oleh pihak polis.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED