Translate

02 October 2020

Ditipu Untuk Bekalkan Air Mineral Bagi PRN Sabah - Ahli Perniagaan Rugi RM338,000



Dua ahli perniagaan rugi RM338,000 ditipu untuk bekalkan air mineral bagi PRN Sabah
BERNAMA
02/10/2020 07:01 PM


KUALA KANGSAR, 2 Okt -- Dua ahli perniagaan lelaki mengalami kerugian RM338,000 setelah ditipu oleh satu sindiket yang menyamar sebagai Pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya bagi projek pembekalan air mineral untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata seorang daripada ahli perniagaan itu yang berasal dari Selangor telah dihubungi ahli sindiket pada 2 Sept lepas berhubung tawaran projek dan memintanya memasukkan wang RM50,000 sebagai cagaran.

Katanya ahli perniagaan berumur 54 tahun telah datang ke sini 21 Sept untuk bertemu rakannya berumur 40 tahun sebelum memasukkan wang yang diminta oleh suspek di Maybank Kuala Kangsar.

"Suspek telah menghubungi ahli perniagaan itu dan mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta lagi cagaran sebanyak RM100,000 di samping meminta dia membekalkan 20,000 kotal air mineral bernilai RM288,000 bagi kegunaan 31 kawasan PRN di Sabah.

"Ahli perniagaan itu telah menghantar seorang pekerjanya ke Kota Kinabalu, Sabah untuk membuat pembelian 20,000 kotak air mineral bernilai RM288,000 pada 22 Sept lepas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Omar Bakhtiar berkata suspek kemudiannya menghubungi ahli perniagaan itu dan memberitahu dia akan mendapat balik tuntutan wang bagi projek pembekalan air mineral pada 29 Sept lepas.

"Ahli perniagaan itu bagaimanapun menyedari dia ditipu setelah suspek tidak menjawab panggilannya, dan dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Kangsar pada pukul 1.30 tengah hari, semalam,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut Omar Bakhtiar modus operandi kumpulan itu adalah dengan menawarkan kontrak dan projek kerajaan kepada ahli perniagaan tertentu, selain menawarkan gelaran datuk.


BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED