Mahasiswa rugi lebih RM60,000 terperdaya sindiket penipuan panggilan telefon
Bernama
04/04/2025

Seorang mahasiswa kerugian RM64,200 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat e-dagang. - Foto hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang mahasiswa di sini kerugian RM64,200 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat e-dagang.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata wanita berusia 22 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya wakil syarikat berkenaan pada 1 Jan lepas dan memaklumkan produk yang dijual mangsa menerusi platform itu telah menyebabkan beberapa pelanggan jatuh sakit.
Beliau berkata suspek seterusnya memberitahu yang mangsa akan didakwa dan perbualan itu kemudian disambungkan pula kepada anggota sindiket lain yang menyamar sebagai polis.
"Mangsa juga didakwa kononnya terlibat dalam kes pengubahan wang haram yang akan menyebabkan dia ditangkap. Suspek menawarkan bantuan untuk membersihkan nama pelajar wanita itu, tetapi perlu membayar sejumlah wang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mahasiswa itu yang panik dan takut telah membuat lapan transaksi keseluruhan berjumlah RM64,200 ke tujuh akaun berbeza menggunakan wang simpanan Tabung Haji bapanya.
Sementara itu dalam kes berasingan di Jertih, seorang pesara guru berputih mata apabila wang di dalam akaun banknya sebanyak RM181,900 lesap akibat diperdaya sindiket penipuan dalam talian baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Saleh berkata lelaki itu yang berusia 60 tahun telah menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang menyamar wakil sebuah syarikat insurans pada 2 Sept tahun lepas.
"Mangsa yang menetap di Kampung Chegar Batang, Hulu Besut di sini didakwa kononnya telah membuat tuntutan insurans palsu dan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
"Mangsa yang ketakutan itu akur dengan arahan suspek dengan membuka akaun di sebuah cawangan bank di Machang, Kelantan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mangsa juga memasukkan wang sebanyak dua kali ke dalam akaun bank terbabit secara berperingkat sebelum menyedari dirinya ditipu apabila mendapati baki akaun bank yang baru dibukanya hanya tinggal RM104.55.
-- BERNAMA