Yusoff Rawther gagal buka pintu kereta semasa serbuan - Saksi
Bernama
09/04/2025

Muhammed Yusoff Rawther (foto) tidak dapat membuka pintu pemandu Nissan Teana miliknya semasa serbuan polis. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Muhammed Yusoff Rawther tidak dapat membuka pintu bahagian pemandu Nissan Teana miliknya ketika serbuan polis di tepi jalan di Bukit Kiara, di sini, sebelum sebuah beg berwarna hitam mengandungi dua pistol tiruan dan ketulan dadah dijumpai dalam kenderaan itu.
Muhammed Yusoff Rawther tidak dapat membuka pintu pemandu Nissan Teana miliknya semasa serbuan polis, sebelum beg hitam mengandungi dua pistol tiruan dan dadah dijumpai dalam kenderaan itu.
Tertuduh didakwa mengedar 305 gram kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
Perbicaraan bersambung esok, dengan tertuduh menghadapi hukuman penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.
Insp Risikan Wan Muhammad Wan Ali, 37, yang bertugas di Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) berkata tertuduh (Muhammed Yusoff) hanya boleh membuka pintu hadapan penumpang menggunakan kunci secara manual.
"Ketika serbuan pada 6 Sept 2024, 9.25 pagi, saya selaku ketua operasi telah menahan tertuduh semasa dia menuju ke kenderaan itu dan memintanya membuka pintu kereta berkenaan.
"Tertuduh dilihat cuba membuka pintu dengan menekan alat kawalan jauh beberapa kali, namun gagal.
"Saya minta anggota lain cuba membuka pintu lain semasa tertuduh menekan alat kawalan jauh tetapi pintu-pintu itu tidak dapat dibuka.
"Selepas itu, saya arahkan tertuduh menggunakan kunci secara manual dalam usaha membuka pintu, namun apabila tertuduh berkali-kali cuba membuka dan menarik pintu depan pemandu, ia masih tidak dapat dibuka.
"Saya kemudian mengarahkan tertuduh bergerak ke pintu hadapan penumpang dan memintanya membuka pintu tersebut dan akhirnya ia dapat dibuka," katanya sambil memaklumkan tertuduh kemudian masuk ke dalam kereta berwarna biru gelap itu dan membuka pintu pemandu dari dalam apabila diminta berbuat demikian.
Saksi pendakwaan pertama itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman pada perbicaraan kes pengedaran dadah dan pemilikan senjata tiruan dihadapi Muhammed Yusoff yang juga bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik.
Sebelum ini, Wan Muhammad memberitahu mahkamah beg berwarna hitam mengandungi dua pucuk pistol ditemukan di bawah kerusi penumpang hadapan ketika beliau memeriksa kenderaan itu dalam serbuan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominum, manakala ketulan mampat disyaki ganja ditemui di bawah kerusi belakang semasa pemeriksaan lanjut di parkir depan surau IPKKL.
Sementara itu, Wan Muhammad bersetuju dengan cadangan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali bahawa alat kawalan jauh tidak berfungsi semasa tertuduh sampai ke kereta berkenaan semasa serbuan dilakukan dan bersetuju bahawa tertuduh berkali-kali menekan alat itu untuk membuka pintu tetapi tidak berjaya.
Muhammad Rafique: Jadi Inspektor suruh anggota lain buka pintu dan Wan Muhammad menjawab, "Ya, semasa tertuduh menggunakan alat kawalan jauh".
Saksi itu turut bersetuju dengan peguam bahawa tiga pintu lain juga tidak dapat dibuka oleh anggotanya walaupun mereka cuba membuka dan menarik pintu berkenaan.
Dalam pada itu, Koperal Amirul Azwa Zahari, 38, yang bertugas di Bahagian Siasatan Khas (D9) IPKKL bersetuju dengan peguam bahawa tertuduh kelihatan tenang ketika polis melakukan serbuan dan menahannya pada hari kejadian (6 Sept).
Saksi pendakwaan keenam itu juga bersetuju dengan peguam bahawa tiada cubaan daripada tertuduh untuk melarikan diri ketika serbuan dan tiada pergelutan dan makian semasa dia ditahan pihak polis.
Sebelum prosiding bermula, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dengan diiringi jurubahasa dan kakitangan mahkamah, membuat pemerhatian ke atas kereta berkenaan yang diletakkan di aras bawah Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bersama barisan timbalan pendakwa raya dan peguam.
Tertuduh dalam keadaan bergari turut dibawa turun di aras bawah mahkamah diiringi polis bagi melihat demonstrasi dilakukan Wan Muhammad bagaimana pistol dan dadah ditemukan di dalam kereta itu.
Muhammed Yusoff didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 10.15 pagi, 6 Sept 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.
Dia juga didakwa atas pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, 6 Sept 2024, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA