Pulau Pinang terima penerbangan sulung terus dari Myanmar esok
Bernama
09/04/2025

Penerbangan terus itu dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 6 petang esok. - Penang International Airport
GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan menerima penerbangan sulung terus dari Yangon, Myanmar menerusi syarikat penerbangan Myanmar Airways International (MAI), yang dijangka dapat meningkatkan kehadiran pelancong ke sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata, penerbangan terus itu dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 6 petang esok.
Penerbangan terus itu diadakan dua kali setiap minggu iaitu Isnin dan Khamis dengan penerbangan pulang pada hari sama.
''Kami telah berbincang tentang laluan baharu itu sejak beberapa bulan lepas dan akhirnya penerbangan pertama dijadualkan esok. Ini mencerminkan keyakinan terhadap potensi negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Pembentangan MAI Bersama Ejen Pelancongan di sini hari ini.
Wong berkata gempa bumi yang melanda Myanmar baru-baru ini tidak menjejaskan Lapangan Terbang Yangon kerana pusat gempa terletak lebih 600 kilometer dari situ, namun bencana itu dijangka menjejaskan jumlah penumpang.
Beliau juga menyifatkan laluan penerbangan itu sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam sektor pelancongan, pelaburan, pendidikan dan perkhidmatan perubatan.
Selain Pulau Pinang, MAI turut melakukan penerbangan terus dari Yangon ke Kuala Lumpur sebanyak tujuh kali seminggu, dan Wong menjangkakan penambahan penerbangan ke negeri itu pada masa hadapan.
Ia mengambil kira Pulau Pinang antara destinasi utama pelancongan perubatan di Malaysia dan menerima ratusan ribu pesakit antarabangsa setiap tahun termasuk dari Myanmar.
''Hospital swasta di Pulau Pinang menawarkan rawatan berkualiti tinggi pada harga berpatutan. Myanmar sudah menjadi antara pasaran utama dalam sektor ini dan kami menjangka potensi pertumbuhan lebih besar,'' katanya.
Selain sektor kesihatan, beliau berkata Pulau Pinang turut mempunyai kelebihan dalam bidang pendidikan, acara perniagaan dan industri pembuatan menjadikan negeri itu sebagai destinasi strategik kepada pelabur serta pelancong dari Myanmar.
Pulau Pinang kini dihubungkan dengan 20 bandar utama di Asia dan Timur Tengah melalui penerbangan terus, dengan Yangon menjadi destinasi ke-21.
-- BERNAMA