Sindiket edar dadah tiga negara guna kurier tumpas
Bernama
08/04/2025

Mat Zani (tengah) mengadakan sidang media mengenai sindiket pengedaran yang berjaya ditumpaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, hari ini. - Foto Bernama
ISKANDAR PUTERI: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan pasaran tempatan, Singapura dan Indonesia membabitkan nilai rampasan RM14.39 juta dalam satu operasi khas di sini pada 27 Mac lepas.
Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menyasarkan pasaran tempatan, Singapura, dan Indonesia dengan nilai rampasan RM14.39 juta dalam operasi khas pada 27 Mac lepas.
Dua warga tempatan dipercayai pasangan kekasih berusia 28 tahun ditahan, dan sindiket ini menggunakan pangsapuri berpagar sebagai stor penyimpanan serta makmal mini untuk memproses dadah.
Sebanyak 34.5 kg heroin, 1.5 kg heroin base, 83 kg pil ekstasi, dan 2 kg syabu dirampas, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata operasi melibatkan JSJN Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor itu turut menahan dua warga tempatan dipercayai pasangan kekasih berusia 28 tahun.
Beliau berkata sindiket yang dipercayai aktif sejak September tahun lepas itu menjadikan pangsapuri berpagar dan berpengawal sebagai stor penyimpanan serta makmal mini untuk memproses dadah.
"Suspek lelaki dipercayai bertindak sebagai pengambil serta penghantar dadah, dan mendapat upah antara RM8,000 hingga RM10,000. Namun, perancang sindiket masih dikesan dan sedang dikenal pasti.
"Bekalan dadah terutama ekstasi diperoleh dari Pantai Timur dan negara jiran dengan menggunakan perkhidmatan kurier. Menerusi operasi ini kita dapat mematahkan pengedaran di pasaran Singapura dan Indonesia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini hari ini.
Mat Zani berkata sindiket pengedaran antara terbesar di Johor itu turut menggunakan pelbagai aplikasi dalam talian sebagai medium pembelian selain menggunakan kurier untuk menghantar dadah berkenaan.
"Kita percaya ada lagi saki-baki (suspek) sindiket ini. Kita juga akan mengambil tindakan pelucutan harta dan sedang mengesan harta-harta (hasil sindiket) untuk disita," katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 34.5 kilogram (kg) heroin, 1.5kg heroin base, 83kg pil ekstasi dan 2kg syabu dirampas dalam operasi berkenaan.
"Kesemua dadah ini ditemukan dalam sebuah kereta Honda City dan pangsapuri, termasuk bahan kimia serta pelbagai peralatan dan perkakas memproses dadah," katanya.
Beliau dalam pada itu berkata suspek lelaki didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau serta pernah ditahan di Singapura pada 2015 atas kesalahan dadah dan dibebaskan pada Februari tahun lepas setelah selesai menjalani hukuman penjara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA