BNM mungkin pertimbang penurunan OPR sebagai langkah kitaran berbalas - HLIB
Bernama
08/04/2025

BNM mungkin pertimbang menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas sebagai langkah kitaran berbalas jika tanda kelembapan pertumbuhan muncul. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mempertimbangkan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) sebagai langkah kitaran berbalas jika tanda kelembapan pertumbuhan muncul dalam beberapa bulan akan datang.
Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin mempertimbangkan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas jika tanda kelembapan pertumbuhan muncul dalam beberapa bulan akan datang.
Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas eksportnya ke AS, dan syarikat-syarikat mula mengimport lebih awal sejak Presiden AS Donald Trump memegang jawatan pada Januari 2025.
Malaysia boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan import dari AS dan mempelbagaikan pasaran eksportnya untuk membantu mengurangkan kesan tarif.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata aliran ekonomi global yang lebih lemah ditambah dengan persekitaran inflasi yang agak sederhana di Malaysia boleh memberi ruang kepada bank pusat untuk bertindak, jika perlu.
"Kami tidak fikir BNM akan bertindak secara awalan tetapi akan mengambil pendirian tunggu dan lihat sehingga bukti yang lebih kukuh berhubung kelembapan pertumbuhan," kata HLIB dalam nota penyelidikannya hari ini.
Selain itu, HLIB berkata kedudukan Malaysia sebagai satu daripada negara yang kurang terjejas oleh kenaikan kadar tarif Amerika Syarikat (AS) mungkin membantu menampan sentimen domestik, khususnya jika rakan serantau mengalami kelembapan yang lebih ketara dan mengamalkan dasar monetari yang lebih ketat.
Namun, pemantauan berterusan terhadap pekerjaan, pelaburan dan permintaan luar akan menjadi kunci untuk menentukan pendirian dasar yang sesuai, kata HLIB.
Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus ke atas eksportnya ke AS, rakan eksport ketiga terbesar negara merangkumi purata 7.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 2011 hingga 2024.
Eksport utama Malaysia ke AS termasuk mesin elektrik dan mekanikal, alat perubatan, getah, perabot, minyak, plastik, besi dan keluli, aluminium serta produk koko.
Dalam menjangkakan tarif, HLIB berkata syarikat-syarikat mula mengimport lebih awal sejak Presiden AS Donald Trump memegang jawatan pada Januari 2025 dan ini terbukti daripada prestasi eksport Malaysia.
"Pemuatan hadapan ini dijangka sekurang-kurangnya berterusan sehingga bulan terakhir suku pertama 2025, lebih awal daripada tarif 24 peratus yang berkuat kuasa pada 9 April, pada permulaan suku kedua 2025," kata HLIB.
Untuk membantu mengurangkan kesan tarif, bank pelaburan itu berkata Malaysia boleh mempertimbangkan untuk meningkatkan import dari AS dan pada masa yang sama mempelbagaikan pasaran eksportnya.
"Terdapat peluang segera apabila Malaysia sudah mengimport jumlah yang besar dari AS dan boleh meningkatkan pembelian secara realistik untuk membantu mengurangkan jurang dagangan," katanya.
-- BERNAMA