Akta 723: KKM akan panggil MMA untuk libat urus lanjut - Dr Dzulkefly
Bernama
08/04/2025

Dr Dzulkefly bercakap pada media selepas majlis penyerahan 210 unit Automated External Defibrillator (AED) sumbangan 99 Speedmart hari ini. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan satu lagi pusingan perbincangan dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan badan perubatan lain, berikutan bantahan terhadap langkah melaksanakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) terhadap fasiliti penjagaan kesihatan swasta.
Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan satu lagi pusingan perbincangan dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan badan perubatan lain berikutan bantahan terhadap pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) terhadap fasiliti penjagaan kesihatan swasta.
Hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka mulai 1 Mei depan, selaras dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.
KKM sedang menunggu keputusan akhir mengenai cadangan semakan semula yuran perundingan pengamal perubatan umum (GP) yang kini berada di peringkat akhir.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau akan mengkaji kebimbangan yang dibangkitkan dan berunding dengan pihak berkepentingan mengenai perkara berkenaan.
"Saya baru sahaja dimaklumkan mengenai isu itu (bahawa lapan persatuan perubatan membantah arahan pameran harga). Saya akan segera menyiasat dan mengadakan perbincangan lanjut.
"Saya bersedia untuk mendengar, terutamanya selepas mesyuarat mereka semalam. Saya akan sekali lagi menjemput MMA (dan persatuan lain) untuk perbincangan lanjut mengenai hal terkait dengan pameran harga ubat," kata selepas majlis penyerahan 210 unit Automated External Defibrillator (AED) sumbangan 99 Speedmart Sdn Bhd di sini hari ini.
Pada 7 April lepas, lapan persatuan perubatan, termasuk MMA dan Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia membantah langkah untuk menggunakan Akta 723 terhadap sektor penjagaan kesihatan swasta.
MMA dilaporkan berkata penggunaan Akta 723 itu juga tidak dilaksanakan secara seragam seperti sektor-sektor lain yang sudah diletakkan di bawah akta berkenaan dan ini suatu bentuk penyalahgunaan kuasa serta beban yang tidak wajar.
Sebelum ini, dilaporkan hospital dan klinik swasta akan memaparkan harga ubat-ubatan di fasiliti mereka mulai 1 Mei depan, selaras dasar ketelusan harga dalam perkhidmatan kesihatan.
Dzulkefly berkata KKM telah mengadakan beberapa pusingan libat urus khusus dengan MMA dan Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM), dan sudah bersetuju perkara itu terkait dengan Jadual Ketujuh Akta Fasiliti dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Dalam perkembangan lain, KKM sedang menunggu keputusan akhir daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) mengenai cadangan semakan semula yuran perundingan pengamal perubatan umum (GP).
Beliau berkata KKM telah mengemukakan cadangan berkenaan yang kini berada di peringkat akhir.
Dzulkefly berkata semakan semula yuran perundingan GP adalah antara sebab utama di sebalik persetujuan persatuan perubatan sebelum ini untuk menyokong pameran harga ubat.
"Saya telah membuat komitmen dan mereka juga tahu bahawa saya telah mendapatkan komitmen daripada Kabinet untuk menyemak dan mengemas kini yuran perundingan itu.
"Sekarang hanya tinggal menunggu masa sebelum pengumuman rasmi (mengenai yuran perundingan baru) dibuat. Bagaimanapun, keputusan akhir di luar bidang kuasa kami," katanya.
-- BERNAMA